Header Ads

Jenazah Aamina selamat dikebumikan

Foto oleh NSTP


GUA MUSANG: Jenazah kanak-kanak perempuan berusia setahun lima bulan yang maut dilanggar kereta dipandu ibu pengasuhnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Taman KESEDAR Putra, di sini, pada 2.45 pagi tadi.
Jenazah Aamina Inayah Mohd Hafezul dituntut keluarganya di Bilik Forensik Hospital Gua Musang (HGM) pada pukul 1 pagi selepas selesai proses bedah siasat dan jenazah juga disolatkan di hospital itu sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Loading...

Bapa kanak-kanak itu, Mohd Hafezul berkata, kelewatan pengebumian jenazah anak perempuannya itu adalah disebabkan kelewatan proses bedah siasat walaupun pada asalnya hendak dikebumikan selepas solat Asar semalam.
Katanya, pengebumian itu dihadiri ahli keluarga dan sahabat andai termasuk isterinya Khazarina Sharing, 33, yang baru pulang dari Arab Saudi kerana bertugas sebagai jururawat di sana.
“Kami bersyukur kerana semua proses pembedahan jenazah anak saya hingga ke pengebumian berjalan lancar hasil kerjasama semua pihak serta doa daripada semua sahabat,” katanya kepada pemberita di sini.


Dalam kejadian kira-kira pada 5 petang, dua hari lalu, Aamina Inayah maut dilanggar kereta dipandu ibu pengasuhnya di rumahnya di Taman KESEDAR Putra.
Semasa kejadian, pengasuh kanak-kanak itu, Nor Syamimi Ibrahim yang berada dalam rumah tidak menyedari kehilangan Aamina Inayah sebelum bergegas mencarinya.
Aamina Inayah ditemui terbaring di lantai garaj kereta dan dikejarkan ke hospital sebelum meninggal dunia setengah jam kemudian.
Mohd Hafezul berkata, isterinya yang pulang segera dari Arab Saudi pada 9 malam selepas beliau memaklumkan kejadian itu tiba di Kuala Lumpur pada 12 tengah hari sebelum sampai di Gua Musang pada jam 4 petang semalam.
“Walaupun dia (isteri) sampai dalam keadaan sedih kerana berpisah berikutan bertugas di Arab Saudi sejak dua minggu lalu sebagai jururawat tetapi tenang ketika melihat jenazah anak bongsu kami, ” katanya. – BERNAMA

No comments


Loading...