Header Ads

Isu kenaikan tarif air, kerajaan PH tidak bertimbang rasa terhadap rakyat?


GEORGETOWN- Pengumuman kenaikan tarif air di Pulau Pinang yang bakal dilaksanakan nanti membuktikan kerajaan negeri tidak mengambil peduli dengan bebanan yang ditanggung rakyat pada masa ini.

Ketua Pemuda Umno Nibong Tebal, Norhiesam Ismail berkata, pihaknya kecewa dengan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow kerana langsung tidak mengambil kira kepentingan rakyat yang semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Loading...

Menurutnya, rakyat juga sedang bergelut dengan kos barangan yang semakin meningkat sejak cukai jualan dan khidmat (SST) diperkenalkan.

"Pemuda Umno Nibong Tebal membantah sekiranya benar tarif air di Pulau Pinang dinaikkan sebanyak 20 peratus seperti yang diumumkan tadi. Jika benar, kami kecewa dengan kerajaan DAP yang langsung tidak mengambil kira kepentingan rakyat yang semakin terhimpit dengan bebanan sara hidup.

"Dengan pelaksanaan SST dan beberapa bantuan oleh kerajaan BN sebelum ini dimansuhkan dan dikurangkan, kini kerajaan PH menambah beban rakyat dengan kenaikan tarif air pula. Adakah ini menunjukkan kerajaan PH tidak bertimbang rasa terhadap rakyat?" katanya dalam kenyataannya tadi.

Norhiesam turut mempersoalkan Kerajaan Pulau Pinang yang sering berjanji tidak akan menaikkan tarif air sebelum ini.

"Sebelum ini, mereka sering berjanji tidak akan menaikkan tarif air tetapi apa yang berlaku kini adalah sebaliknya. Adakah ini boleh dikatakan hadiah kepada rakyat yang memberi mandat kepada mereka dalam PRU14 lalu?

"Sejak pemerintahan DAP selama 10 tahun di Pulau Pinang, mereka telah menaikkan tarif air sebanyak empat kali. Malah surcaj juga dikenakan. Jika dibandingkan dengan BN, tidak pernah sekali pun tarif air dinaikkan walaupun memerintah selama 18 tahun," katanya.

Tambahnya, alasan untuk penstrukturan industri perkhidmatan air di negeri ini yang diberikan Kon Yeow tidak boleh diterima.

"Kami yakin, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mempunyai kewangan yang kukuh selain keuntungan puluhan juta setiap tahun untuk menampung masalah ini. Jadi kenapa nak naikkan? Adakah kerajaan negeri sengaja ingin mengaut keuntungan yang lebih melalui kenaikan tarif air ini?


"Tidak cukupkah dengan penjualan tanah yang begitu banyak selama ini selain hak kerajaan digadaikan? Beliau turut menggesa agar kerajaan Pulau Pinang menghentikan niat tersebut dengan mengambil kira bebanan yang terpaksa ditanggung rakyat.

"Carilah alternatif atau sumber lain agar kenaikan tarif air ini tidak dilaksanakan. Selain itu, hentikanlah projek mega yang tidak menguntungkan rakyat. Kurangkanlah tarif air atau sekurang-kurangnya, kekalkan yang sedia ada," katanya.

-sinar harian

Loading...