Header Ads

Insiden kekecohan di Pos Lenjang, BN Pahang serahkan pada polis siasat


TANAH RATA – BN Pahang menyerahkan kepada polis untuk menyiasat insiden kekecohan di penginapan Umno Rompin di Pos Lenjang, Kuala Lipis semalam.


Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata laporan polis berhubung insiden itu telah dibuat calon BN dalam PRK Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor.


Loading...

“Perkara ini sekarang dalam tindakan polis jadi kita tunggu lah,” katanya ,selepas merasmikan Dewan Puncak Arabella di sini hari ini.


Wan Rosdy berkata situasi masih terkawal dan beliau tidak menjangkakan sesuatu yang lebih buruk akan terjadi.


Hari ini tular di laman sosial laporan polis yang dibuat Ramli berhubung insiden itu pada jam 3.42 pagi tadi.



Dilaporkan, sebuah video yang menunjukkan penginapan Umno Rompin di Pos Lenjang didatangi Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli yang juga Naib Pengerusi DAP Tengku Zulpuri Shah Raja Puji bersama beberapa individu yang didakwa tidak berpuas hati selepas jentera BN dikatakan ‘menangkap’ ahli PH menggunakan kenderaan kerajaan untuk berkempen.


Video yang menunjukkan jentera BN bertelingkah dengan individu yang pakaiannya tertera logo PH itu bersama sebuah kenderaan yang mempunyai logo Jabatan Perhutanan Negeri Pahang di sebalik bendera Jalur Gemilang itu turut tular sejak semalam.


Dalam pada itu Wan Rosdy berkata BN tidak gentar dengan kunjungan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadualkan pada 25 Januari ini.


“Kita serah kepada rakyat untuk menilai, Tun (Dr Mahathir) dia perdana menteri, dia boleh datang mana-mana pun,” katanya.


PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lepas mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam PRU14 bagi kerusi parlimen itu terbatal dan tidak sah.


PRK parlimen Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon PH dan BN serta dua calon bebas.


PH meletakkan M.Manogaran yang juga timbalan pengerusi DAP Pahang manakala BN diwakili Ramli yang merupakan bekas polis. Dua calon bebas ialah bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan petani Wong Seng Yee.


- Bernama

No comments


Loading...
loading...