Header Ads

Cameron Highlands bakal diangkat ke UNESCO

   foto oleh Bernama.

TANAH RATA - Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) sedang giat berusaha menjadikan pusat pelancongan tersebut sebagai tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Yang Dipertuanya Datuk Zainal Md Amin berkata sasaran itu turut dimasukkan dalam Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands 2030 (Penggantian).

Loading...

“Kajian rancangan tempatan daerah meliputi semua aspek pembangunan dan penjagaan alam sekitar seluruh Cameron Highlands, contohnya, apakah pola pembangunan yang akan kita laksanakan pada masa hadapan, apakah kawasan yang kita langsung tidak boleh sentuh di Cameron Highlands dan sebagainya,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di MDCH, di sini hari ini.

Selain itu, katanya sejak 2015 MDCH menjalankan kajian bersama beberapa universiti terutama Universiti Teknologi Malaysia dalam mengenal pasti elemen sejarah dan warisan pelancongan yang terdapat di pusat peranginan terkenal itu.

Pengiktirafan oleh Unesco akan menjadikan Cameron Highlands lebih dikenali di peringkat antarabangsa dan seterusnya meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke sini, katanya.


Bagaimanapun, Zainal berkata ia akan mengambil masa beberapa tahun sebelum hasrat tersebut dapat direalisasikan memandangkan pelbagai proses dan prosedur perlu dilalui.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu jumlah kedatangan pelancong ke Cameron Highlands menunjukkan peningkatan setiap tahun.

Katanya pada 2016 jumlah kedatangan pelancong sebanyak 1.01 juta orang, pada tahun 2017 (1.33 juta orang) dan pada 2018 (1.44 juta orang), yang daripada setiap jumlah tersebut, 35 peratus adalah pelancong luar negara.

“Pada tahun 2017 pelancong Jepun adalah yang teramai datang ke Cameron Highlands, diikuti Singapura, Thailand, Arab Saudi dan United Kingdom.

“Pada 2018, pelancong Singapura adalah yang paling tinggi ke Cameron Highlands, diikuti China, Belanda, Jepun dan Arab Saudi,” katanya.

- Bernama

No comments


Loading...