Header Ads

Bersatu yakin masih ada peluang cerah untuk menang di Semenyih

   Foto oleh Bernama. 

PETALING JAYA - Bersatu yakin mempunyai peluang cerah untuk mengekalkan kerusi Dun Semenyih bagi PH pada PRK kawasan itu yang dijadual diadakan pada 2 Mac ini.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, parti itu yakin sokongan pengundi Melayu di kawasan berkenaan kekal bersama Bersatu.

Loading...

"Saya rasa sokongan orang Melayu di Semenyih masih kuat, tetapi kita perlu ingat bahawa mungkin terdapat lebih dua parti bertanding, jadi undi orang Melayu mungkin boleh berpecah.

“Sudah tentu ia boleh beri kesan tidak baik kepada sesebuah parti tetapi berdasarkan penilaian, kami yakin masih mempunyai peluang yang cerah untuk menang,” kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini hari ini.

PRK Dun Semenyih diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung. Penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari manakala hari mengundi awal 26 Februari.

Pengerusi PH langor Amirudin Shari dilaporkan berkata, ia tetap dengan keputusan yang dibuat pada peringkat negeri sebelum ini bahawa Bersatu patut meletakkan calon sebagai penyandang kerusi berkenaan.

Dr Mahathir berkata, mesyuarat itu juga membincangkan keadaan semasa politik dalam negara dan persepsi rakyat kepada pemerintah.

"Pemerintahan negara berjalan dengan baik walaupun ada sedikit perselisihan pandangan dan salah tafsir daripada media," katanya.

Sebelum sidang media itu berlangsung, Dr Mahathir menerima 5,000 borang permohonan untuk menyertai Bersatu daripada wakil beberapa negeri.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, kenyataan beliau yang mengecam kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin mendapat sokongan beberapa pemimpin dunia Islam.


"Saya rasa sebilangan mereka sangat gembira dengan kenyataan dan tindakan kita. Saya berbual dengan beberapa pemimpin tersebut dan mereka gembira dengan pendirian kita dan menyokong kita,” katanya.

Malaysia tegas dengan keputusan untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019, menyebabkan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan hak penganjuran negara sebagai tuan rumah kejohanan itu yang bakal berlangsung di Kuching dari 29 Julai hingga 4 Ogos depan. 

- Bernama

No comments


Loading...
loading...