Header Ads

Bendera Malaysia berkibar megah di Gaza, selepas Tun M larang atlet Israel memasuki negara

Bendera Malaysia dan sepanduk berkibar di stadium di Kota Gaza sebagai tanda penghargaan selepas pendirian tegas Malaysia terhadap atlet Israel. - Foto oleh Muslim Imran

Rakyat Palestin menzahirkan penghargaan dengan mengibarkan bendera Malaysia di Gaza selepas Malaysia bertegas tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara ini

Pada Sabtu lalu peminat bola sepak Palestin mengibarkan bendera Malaysia di Stadium Yarmouk, salah satu stadium tertua di Kota Gaza sebagai tanda penghargaan atas pendirian Malaysia terhadap Israel.

Loading...


Rakyat Palestin turut mengibarkan sepanduk dengan slogan menyokong pendirian Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga menteri-menteri lain.

“Terima kasih Malaysia kerana berpendirian menentang normalisasi (hubungan) dengan apa yang dipanggil ‘Israel’,” tulis sepanduk itu lagi.

Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran berkata penduduk Gaza amat menyambut baik pendirian Malaysia terhadap 'negara' Israel dengan bertindak balas di media sosial di bawah hashtag #supportMalaysia, dan solidariti dengan Malaysia di Facebook, Twitter dan Instagram.

“Pemasangan (bendera dan sepanduk) di padang bola sepak merupakan tanda sokongan untuk Malaysia, untuk memperlihatkan bagaimana rakyat Palestin berbangga.



“Pendirian Malaysia diterima dengan baik oleh Palestin, terutama di Gaza,” kata Muslim Imran lagi seperti dilapor portal FMT.

Peminat bola sepak Palestin terus meraikannya pada Ahad dengan memasang bendera Malaysia dan sepanduk yang sama di Stadium Palestin, tuan rumah pasukan bola sepak kebangsaan Palestin, yang dibom Israel pada 2006.

Putrajaya sebelum ini mengumumkan ia akan melarang atlet Israel daripada bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak, dari 29 Julai hingga 4 Ogos.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri Israel, Emmanuel Nahshon kemudian mengecam larangan itu dan berkata Dr Mahathir sebagai bersikap anti-Yahudi.

Dr Mahathir kemudiannya mengulangi pendirian kerasnya terhadap Israel ketika di Oxford Union Society di Britain pada Sabtu lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas Israel dengan berkata Israel adalah hipokrit terbesar dalam kutukan terhadap Malaysia.


“Kenyataan Israel memaparkan sendiri sikap hipokrit mereka apabila menyatakan Malaysia mempolitikkan sukan, sedangkan mereka sendiri melakukan perbuatan sama apabila menyekat pasukan bola sepak Gaza untuk memasuki tebing barat ketika perlawanan akhir piala dunia Palestin, bukankan itu politik terhadap sukan?” katanya Syed Saddiq menerusi Instagram.


No comments


Loading...