Header Ads

' Altantuya beritahu jumpa Razak ' - Bapa

   Foto oleh Bernama

SHAH ALAM – Dr Shaariibuu Setev, bapa warga Mongolia yang mati dibunuh, Altantuya Shaariibuu, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa anak perempuannya itu memberitahunya bahawa dia mahu berjumpa seorang lelaki dikenali sebagai ‘Razak’ di Malaysia pada 2006.

Dr Shaariibuu, 69, profesor sambilan di Mongolian National University, bagaimanapun berkata beliau tidak tahu siapakah Razak yang dimaksudkan oleh anaknya itu, sama ada Najib Razak (bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) atau Razak Baginda (penganalisis politik Abdul Razak Baginda).

Loading...

“Apa yang dia (Altantuya) beritahu saya ialah Razak. Saya tidak tahu Razak yang mana...Najib Razak atau Razak Baginda,” katanya ketika disoal peguam yang mewakilinya, Ramkarpal Singh, pada pendengaran kes saman RM100 juta yang difailkan oleh beliau dan keluarganya terhadap dua bekas anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, Abdul Razak serta kerajaan Malaysia.

Dr Shaariibuu memberitahu mahkamah beliau juga bertanyakan anaknya tentang identiti Razak yang dinyatakannya itu, dan Altantuya menjawab dia mahu mendapatkan bantuan daripada lelaki berkenaan untuk rawatan perubatan anaknya.

Saksi itu berkata identiti Razak timbul dalam perbualan dengan Altantuya di rumahnya, sehari sebelum mendiang berlepas ke Malaysia.

Ramkarpal: Adakah kamu tahu bagaimana rupa Razak ini semasa anak kamu beritahu kamu mengenainya?

Dr Shaariibuu: Saya tidak tahu.


Ramkarpal: Adakah kamu bertanya kepada anak kamu atau adakah kamu cuba mencari siapakah dia Razak ini?


Dr Shaariibuu: Kami ada berbual dan semasa sedang berbual, dia pergi ke tandas dan telefon bimbitnya berdering. Begnya ada di depan saya. Saya buka beg itu dan ternampak satu foto.


Ditanya Ramkarpal apakah yang ada dalam foto yang dilihat plaintif itu, Dr Shaariibuu berkata, “Saya tanyakan kepadanya secara khusus siapakah orang ini sebab anak perempuan saya pun ada dalam gambar itu. Dia menjawab ‘inilah orang yang saya mahu jumpa di Malaysia’”.

Dr Shaariibuu berkata beliau kemudian terjumpa tiket penerbangan yang dibeli Razak untuk Altantuya bertarikh 23 Mac 2005 dan resit daripada Habib bertarikh 4 Mac 2005 bagi pembelian barangan kemas bernilai RM11,300 yang dijual kepada Abd Razak Abdullah.

Saya juga terjumpa sepucuk surat daripada Abdul Razak Baginda bertarikh 2 Mac 2006 kepada si mati sebagai pembayaran kepadanya berjumlah AS$18,0000. Surat itu tidak ditandangani oleh Abdul Razak tetapi ia ditandatangani oleh si mati sebagai akuan penerimaan wang yang dinyatakan itu,” katanya.

Terdahulu, Dr Shaariibuu memberitahu mahkamah beliau tahu bahawa anaknya berkunjung Malaysia pada 2005 dan 2006 tetapi tidak ingat pada bulan berapa.

Saya tahu tentang perkara ini sebab anak saya beritahu saya dia akan ke Malaysia pada sekitar waktu itu. Pada masa itu, saya tidak tanya sebab apa dia hendak ke Malaysia dan dia pun tidak beritahu saya. Saya tidak tahu sama ada itu kunjungan pertamanya ke Malaysia. Saya tahu dia pergi lagi ke Malaysia selepas kembali dari Malaysia pada Ogos 2006.”

Dr Shaariibuu berkata selepas Ogos 2006, beliau mendapat tahu Altantuya akan pergi lagi ke Malaysia apabila mendiang menelefonnya untuk memberitahu perkara itu.

Saya minta dia datang berjumpa saya sebelum berlepas. Dia datang jumpa saya sekitar 7 atau 8 Oktober 2006. Saya tanya kenapa dia kerap pergi ke Malaysia. Saya tanya kepadanya adakah dia ada seseorang yang menjadi sebab dia selalu ke Malaysia dan dia menjawab ya.


“Dia katakan kepada saya dia menjalin hubungan dengan ‘orang besar’ di Malaysia dan namanya ialah Baginda. Katanya kunjungan ini penting baginya sebab dia mahu menguruskan rawatan bagi anak lelakinya,” katanya.

Pada 4 Jun 2007, ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu dan isterinya, Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman RM100 juta terhadap dua bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, Abdul Razak serta kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dikeluarkan daripada senarai plaintif apabila dia meninggal dunia dua tahun lepas.


Dalam pernyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersambung pada Isnin.

- Bernama

No comments


Loading...