Header Ads

Zahid didakwa atas kesalahan pecah amanah



KUALA LUMPUR - Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini didakwa dengan satu pertuduhan baharu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan pecah amanah wang RM10 juta milik Yayasan Akal Budi, tiga tahun lalu.

Kali ini, bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa pecah amanah dana wang itu dengan memberi pinjaman kepada Armada Holdings Sdn. Bhd., di Affin Bank Bhd., cawangan Jalan Bunus, Masjid India, 8 Disember 2015.

Loading...


Ahmad Zahid, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dihadapan Hakim Rozina Ayob.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda.

Susulan pertuduhan tambahan itu, Ahmad Zahid menghadapi keseluruhan 46 pertuduhan iaitu 11 pertuduhan pecah amanah, 27 tuduhan pengubahan wang haram dan lapan pertuduhan rasuah.

Sebelum pertuduhan tambahan itu dibacakan, pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya,  Datuk Raja Rozela Raja Toran memaklumkan kepada mahkamah, pindaan terhadap 10 pertuduhan pecah amanah itu melibatkan tarikh-tarikh kejadian.

Ahmad Zahid masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas kesemua pertuduhan pindaan.
Mahkamah menetapkan 23 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Pada 19 Oktober lalu, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen sama atas 45 pertuduhan  pecah amanah, menerima  wang rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan wang puluhan juta ringgit.


Ahmad Zahid didakwa atas 45 pertuduhan dengan 10 pertuduhan melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan menerima suapan dan 27 pertuduhan penggubahan wang haram melibat jumlah lebih RM100 juta.

-sinar harian

No comments


Loading...