Header Ads

Umno cadang suruhanjaya diraja siasat wang Tabung Haji

Foto oleh Sinar Harian

SEREMBAN — Umno hari ini mencadangkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi mencari kebenaran berkenaan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH).

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata laporan yang dibentangkan di Parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa itu hari ini mengundang kerisauan yang mendalam dan perlu dipandang serius semua pihak.


Loading...
“Saya yakin orang Melayu dan Islam di negara ini mendambakan kebenaran dari pendedahan ini dan seterusnya menuntut pertanggungjawaban daripada mereka yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata satu siasatan secara mendalam, terperinci dan benar mesti dilakukan dengan segera dan tegas.

Umno, kata Mohamad, serius dalam usaha memelihara kewibawaan institusi berkaitan dengan orang Melayu dan Islam.

“Sebarang usaha untuk memperkuat institusi ini dan menghapuskan ketirisan, pecah amanah serta salah tadbir urusnya mesti disokong semua pihak.

“Masyarakat awam berhak mengetahui kedudukan sebenar institusi terpenting ini dan kebenaran hanya terbit dari siasatan yang telus, tidak berpihak dan menyeluruh,” katanya.

Mujahid hari ini dilapor sebagai berkata TH akan diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bermula Januari tahun depan bagi menambah baik tadbir urus organisasi berkenaan.

Mujahid berkata langkah berkenaan adalah sebahagian daripada pelan pemulihan secara menyeluruh bagi memulihkan penyata kira-kira TH yang merekodkan defisit RM4.1 bilion pada 31 Disember tahun lepas.

Sehingga 31 Disember, jumlah aset keseluruhan TH ialah sebanyak RM70.3 bilion manakala jumlah liabiliti sebanyak RM74.4 bilion. — Bernama

Loading...