Header Ads

Tiada lagi monopoli import gula, kata timbalan menteri



KUCHING — Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akhirnya telah menghapuskan monopoli import gula di negara ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen berkata pengilang Makanan dan Minuman (F & B) di negara ini kini boleh memohon permit import untuk gula.

Beliau berkata salah seorang pengeluar F & B di Sarawak berjaya mendapatkan permit untuk mengimport gula, sambil menambah bahawa ini adalah usaha kerajaan baharu untuk menamatkan monopoli dalam beberapa sektor di negara ini.

“Kerajaan persekutuan yang baharu berpendapat bahawa monopoli adalah tidak baik untuk ekonomi negara dan oleh itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna secara serius sedang mengkaji perniagaan ini yang dimonopoli oleh kumpulan atau individu tertentu , “katanya pada sidang media di sini hari ini.

Chong berkata melalui dasar terbuka, ia akan memberi manfaat kepada penggilang F & B di negara ini khususnya di Sarawak dan Sabah kerana mereka kini boleh mengimport gula halus secara terus dari luar negara dengan harga lebih rendah berbanding dasar terdahulu apabila hanya dua syarikat di Semenanjung diberi permit untuk mengimport gula mentah dan menapisnya di negara ini.

Menurut Chong, sebelum ini pengilang F & B terpaksa membeli gula halus pada harga RM2.80 sekilogram dari syarikat di Semenanjung tetapi dengan permit import, mereka boleh membeli dari luar negara dengan harga kurang daripada RM2 sekilogram.

“Ini merupakan usaha kerajaan PH untuk mengawal kos hidup yang semakin meningkat kerana ia antara lain disebabkan oleh dasar monopoli yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelumnya.

Oleh itu, Chong menggesa pengilang F & B lain untuk memohon permit import dan beliau berharap dengan pengurangan kos pengeluaran, ia akan mengurangkan harga produk F & B yang dijual di pasaran.

Beliau berkata permohonan itu boleh diluluskan dalam masa sebulan.

Chong berkata pengilang F & B di Sabah dan Sarawak menggunakan antara 100 hingga 200 tan metrik gula setahun, manakala Malaysia menggunakan lebih 1.3 juta tan metrik setahun. —Bernama

No comments


Loading...