Header Ads

Serahkan harapan pada parti kami untuk majukan Melayu, seru Dr Mahathir

Foto oleh Mukhriz Hazim

PUTRAJAYA — Tun Dr Mahathir Mohamad meminta kaum Melayu dan Bumiputera untuk meletakkan kepercayaan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajuinya untuk menyelamat dan membawa kejayaan kepada mereka.

Perdana Menteri merangkap pengerusi Bersatu itu menegaskan parti berkenaan tahu bagaimana Melayu dan Bumiputera lain boleh berjaya dan sekali gus menyelamatkan diri mereka sendiri.

Loading...


“Tak perlu saya ulas di sini bagaimana Bersatu boleh ubah nasib orang Melayu dan Bumiputera. Yang kita minta hanyalah kepercayaan dan kesanggupan menurut cara yang akan diperkenal oleh kita.

“Percayalah, Melayu boleh selamatkan diri mereka sendiri. Percayalah hanya Melayu sahaja yang boleh selamatkan diri mereka sendiri,” kata Dr Mahathir ketika menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan agung tahunan (PAT) Bersatu kali kedua di sini malam tadi yang turut dihadiri presiden parti  Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam ucapan yang berterus-terang itu, beliau berkata kini orang Melayu berada dalam keadaan tidak menentu dan kehilangan haluan susulan kekalahan parti yang mewakili mereka sebelum ini, dan berpecah sehingga secara berkesan tidak wujud lagi.



Dr Mahathir berkata beliau akan dituduh rasis kerana pendedahan berhubung nasib Melayu dan Bumiputera, namun merasakan perlu berbuat demikian kerana selama lebih 70 tahun telah melihat kemerosotan yang berlaku pada kaum bangsa sendiri.

“Tak mengapalah jika diburukkan nama saya asalkan bangsa saya sedar akan nasib buruk yang akan menimpa mereka di masa hadapan. Sedarlah bahawa kita yang salah. Tak usah cari kesalahan orang lain.

“Pemulihan berada di tangan kita. Usaha yang diperlukan tidak sebegitu besar. Insya Allah akan terhasillah pengorbanan kita,” kata perdana menteri.

Menurut Dr Mahathir, beliau menumpukan kepada apa yang akan dilakukan oleh pemimpin politik daripada Bersatu dalam kerajaan Pakatan Harapan.

“Kuasa pemimpin kerajaan ialah untuk memaju dan membangun negara agar rakyat akan hidup lebih selesa dan sempurna,” katanya sambil menambah ia bukan untuk mendapat keuntungan bagi diri sendiri.

Matlamat yang diperjuang, katanya, masih sama iaitu ingin menjadikan Malaysia negara maju setaraf dengan negara maju lain dan tidak hendak menjadi puak yang miskin di negara yang kaya, serta memastikan nikmat dalam negara dikecapi bersama oleh semua kaum.

Bagi yang lemah, Dr Mahathir berkata “tongkat” boleh membantu, namun bantuan seperti ini tidak harus dikekalkan dan perlu digugurkan sebaik sahaja kekuatan kembali semula.

“Kita berpolitik supaya kita tidak lagi akan bergantung kepada politik. Kita berpolitik untuk menyelamat dan membebaskan kita melalui kejayaan sebagai satu bangsa yang mampu bersaing dengan siapa sahaja, tiap seorang dari kita berdaya tahan sendiri tanpa bertongkat,” tegasnya.

Menurutnya, pendapat bahawa tongkat adalah tanda kemuliaan adalah salah, sebaliknya yang berdiri tegak dalam menghadapi serta mengatasi cabaran ― mereka inilah orang yang mulia.

PAT Bersatu selama tiga hari yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu berakhir hari ini. — Bernama


Loading...