Header Ads

Salleh Said Keruak yang mengejutkan....


Keluar parti, melompat parti dan menubuhkan parti baru mungkin perkara biasa dalam politik Sabah. Ia sudah beberapa kali berlaku sebelum ini dan kini ia sekali lagi menjadi hidangan buat kita semua.

Meskipun dengan keluarnya beramai-ramai pemimpin, Ahli Parlimen dan Adun negeri itu meninggalkan UMNO tidak menyebabkan UMNO Sabah terbubar secara serta merta, tetapi realitinya parti itu boleh dikatakan sudah lumpuh dan tidak lagi bermaya.

Loading...


Matinya UMNO di Sabah bukanlah sesuatu yang menghairankan. Sebelum ini pun sudah banyak parti yang mati dan terkubur begitu saja bila ada pertukaran kerajaan negeri.

Apa yang berlaku kepada UMNO Sabah hari ini semacam ulangan saja. Tiada yang pelik dan tidak ada sesiapa yang terperanjat.

Tetapi, di sebalik keluarnya beramai-ramai pemimpin UMNO meninggalkan parti itu setelah ia kehilangan kuasanya dalam PRU14 yang lalu, yang paling menarik dan mengejutkan tentunya ialah kerana di antara yang berbuat demikian itu termasuk Salleh Said Keruak.



Siapa tidak kenal Salleh Said Keruak atau SSK sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Walaupun pernah menjadi Ketua Menteri Sabah beberapa tahun sebelum ini, nama SSK paling menjadi bualan ialah sejak berlakunya permusuhan antara Najib Razak dengan Tun Mahathir Mohamad.

SSK yang pada awalnya hanya merupakan Speaker DUN Sabah dan agak aktif dalam penulisan melalui blog, telah mengambil kesempatan daripada permusuhan dua pemimpin itu untuk menonjolkan dirinya melalui tulisan-tulisannya untuk menyokong serta membela Najib, sambil sudah tentunya dalam waktu yang sama membelasah Tun Mahathir.

Beliau muncul menjadi pembela paling tegar kepada Najib, terutama berkaitan isu 1MDB serta menghentam Tun Mahathir hampir tanpa belas kasihan dengan mengungkit pelbagai perkara mengenai Pengerusi Pakatan Harapan itu.

Keaktifannya berbuat demikian itu akhirnya mencambahkan kepercayaan Najib terhadapnya sehingga melantiknya sebagai menteri kabinet dengan portfolio di Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Bendahari UMNO.

Bersama jawatan itu, SSK kemudiannya terus memainkan peranannya  dengan lebih aktif lagi sebagai pembela dan penyanjung Najib. Selain terus menulis melalui blognya atau memberi kenyataan melalui pelbagai saluran media di bawah kawalannya, SSK dengan jawatan tinggi yang diberikan Najib itu, kerjanya hampir saban waktu ialah membela dan mempertahankan Perdana Menteri.

Tidak cukup dengan itu, isteri Najib iaitu Rosmah Mansor juga turut dibela dan dipertahankannya cukup-cukup, sesuai dengan ganjaran yang Najib berikan kepadanya.

Bagaimanapun, sebaik UMNO hilang kuasa dan Najib tidak lagi berjawatan Perdana Menteri, selain beliau sendiri kalah di Kota Belud, SSK terus tidak lagi nampak bayangnya.

Dalam Najib turun naik mahkamah atau membuat kemunculan di beberapa tempat awam, bayang SSK tidak lagi kelihatan. Dalam program-program UMNO atau ketika ada penampilan Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO yang baru, beliau tidak lagi seperti dulu yang hampir setiap masa ada di sisi.

Kebanyakan orang percaya SSK mungkin dalam proses untuk bersara dan meninggalkan terus dunia politik. Iyalah, apa lagi dimahukannya, jadi ketua menteri sudah dan jadi menteri juga sudah merasa.

Tidak pernah terbayang kepada sesiapa SSK akhirnya akan meninggalkan UMNO dan muncul bersama dengan pemimpin-pemimpin Sabah yang lain yang bukan saja keluar parti, malah sedia untuk menyatakan sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Mahathir.

Meskipun alasannya menyokong kerajaan ialah untuk memastikan pembangunan Sabah tidak terbantut, tetapi tidakkah SSK tiada sedikit pun teringat kepada jasa serta sumbangan UMNO terhadap dirinya?

Apakah beliau juga sudah melupakan Najib yang sebelum ini banyak memberinya jawatan dan kedudukan?

Dengan sudah bersama-sama pemimpin lain meninggalkan UMNO dan menyatakan sokongan kepada Tun Mahathir yang sebelum ini dibalun serta dikejinya, apakah SSK selepas ini akan kembali berperanan membela Perdana Menteri sebagaimana beliau membela Najib sebelumnya?

*Shahbudin Husin adalah penulis buku kritik politik terkenal. Tulisan adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya mewakili pendirian Malaysian Update.
Loading...

Loading...