Header Ads

Rahim Thamby Chik tinggalkan umno, mohon masuk Bersatu


Bekas Ketua Menteri Melaka Abdul Rahim Thamby Chik hari ini mengumumkan keluar Umno dan menyerahkan permohonan untuk menyertai Bersatu.

Abdul Rahim berkata, beliau bertindak keluar Umno dan memohon menyertai Bersatu kerana Umno kini sudah tidak mempunyai roh perjuangan membela nasib orang Melayu dan roh itu sudah berhijrah ke Bersatu.


Loading...
"Saya sedih tinggalkan Umno setelah lebih 40 tahun berjuang dalam parti itu untuk orang Melayu, saya keluar kerana Bersatu kini boleh membela orang Melayu dengan lebih baik, cekap dan berkesan yang mana Umno kini sudah tiada kapasiti untuk bergerak demi perjuangan orang Melayu.

"Kesilapan pemimpin Umno menabur budaya rasuah menjadi kanser yang memakan akar umbi Umno itu hingga semakin sukar diperbetulkan dan pada pilihan raya umum lepas Umno kecundang," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan borang keanggotaan Bersatu di Ayer Keroh, Melaka.

Beliau berkata tindakannya untuk keluar parti itu dilakukan secara sukarela dan tidak didesak atau menerima apa-apa tawaran daripada mana-mana pihak.

Terdahulu beliau menyerahkan borang keanggotaannya bersama kira-kira 100 permohonan lain kepada Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Melaka Mohd Redzuan Md Yusof yang juga menteri pembangunan usahawan.

Abdul Rahim merupakan ketua menteri Melaka keenam yang memegang jawatan itu antara 26 April 1982 hingga 14 Oktober 1994 dan pernah menjadi ketua Pergerakan Pemuda UMNO untuk penggal 1993-1996.

-Bernama

No comments


Loading...