Header Ads

Perlantikan Rafizi sebagai Naib Presiden adalah wajar



ALOR SETAR: Pelantikan Rafizi Ramli sebagai Naib Presiden PKR disifatkan wajar sebagai menghargai sumbangan bekas Ahli Parlimen Pandan itu kepada parti dan Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Johari Abdul, berkata parti tidak boleh memandang sepi sumbangan Rafizi yang banyak membantu khususnya melalui INVOKE Malaysia sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Loading...

Malah, katanya pelantikan itu tidak perlu dijadikan isu berikutan selain Rafizi, terdapat juga beberapa pemimpin PKR lain yang kalah pada pemilihan parti Oktober lalu, turut diberikan jawatan. 
“Rafizi banyak menyumbang dalam pembangunan parti, malah dalam PRU lalu beliau banyak menghabiskan masa, tenaga dan wang untuk berkempen di seluruh negara, walaupun beliau tidak menjadi calon.
“Malah, melalui INVOKE, beliau banyak membantu PH menang dalam PRU...kita tidak kata INVOKE menyumbang segala-galanya tetapi pembabitannya sangat luar biasa.
“Maka saya fikir wajar pelantikan Rafizi sebagai Naib Presiden, malah bukan beliau saja (yang kalah) dilantik, ada juga beberapa pemimpin lain termasuk Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang kalah dalam perebutan Naib Presiden,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa MPN Kedah sesi 2018-2021 bagi melantik barisan pimpinan baharu yang menyaksikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Ahmad Kassim dilantik sebagai Penasihat I MPN Kedah.
Bekas Pengerusi PKR Kedah, Dr Azman Ismail pula dilantik sebagai Penasihat II dan Che Md Dzaher Ahmad dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MPN Kedah.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melalui pelantikan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Jumaat lalu, melantik Rafizi sebagai Naib Presiden PKR meskipun beliau kalah dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden melalui pemilihan, Oktober lalu.
Susulan pelantikan itu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menggesa Anwar menilai semula pelantikan jawatan utama kepimpinan parti berikutan ia tidak mencerminkan prinsip ‘perwakilan yang adil dan saksama’ terhadap aspirasi anggota parti.
Kenyataan Mohamed Azmin itu kemudian dibidas pihak tertentu termasuk EXCO Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Mohd Aizuddin Ariffin, yang mahu Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menarik semula tuduhannya bahawa pelantikan MPP dibuat berlandaskan sogokan politik dan imbuhan.

Mengulas mengenai perkara itu, Johari berkata Mohamed Azmin perlu melupakan polemik untuk bergerak ke depan bagi merapatkan saf pimpinan dalam mencapai agenda perjuangan parti untuk rakyat.
“Kita tidak setuju dengan kenyataan Mohamed Azmin mengenai sogokan (dalam pelantikan MPP) kerana tiada sogokan sebenarnya.
“Perkataan itu boleh disalah erti, apa yang Presiden mahu sebenarnya satu pasukan yang kuat berdasarkan semangat demokrat dan inklusif,” katanya.
-Berita Harian

Loading...