Header Ads

Nurul Izzah protes Anwar?


Berita paling mengejutkan hari ini tentunya ialah tentang perletakan jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai Naib Presiden PKR dan menolak perlantikan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pulau Pinang.

Dalam waktu yang sama, Nurul Izzah juga, atas sebarang kapasiti, turut melepaskan semua khidmatnya yang ada dengan kerajaan persekutuan.

Loading...

Bagaimanapun, beliau akan terus kekal sebagai anggota PKR dan penyokong kerajaan di Parlimen melalui kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Dengan menang undi tertinggi bagi jawatan Naib Presiden pada pemilihan PKR bulan lalu dan baru diumumkan oleh Anwar semalam sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Pulau Pinang, tindakannya meletakkan kedua-dua jawatan itu bukan saja mengejutkan, tetapi juga merupakan tamparan kepada bapanya yang kini merupakan Presiden PKR.

Apa lagi, Anwar kini hanya kira-kira setahun lebih saja lagi dijangka akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad.

Dengan mengundurkan diri itu, apakah Nurul Izzah tidak mahu bersama-sama melihat kejayaan bapanya menduduki kerusi Perdana Menteri yang diidam-idamkan sejak 20 tahun lalu?

Lantaran itu, di merata-rata ruang perbualan, pelbagai tanggapan dan andaian sedang bertali arus berhubung  perletakan jawatannya secara mengejut itu.

Ada yang mengatakan ia bertujuan untuk mengelak tanggapan berlakunya amalan nepotisme yang sedang dimainkan oleh sesetengah pihak dalam PKR kebelakangan ini.

Bagaimanapun, perkara itu jika diteliti ternampak tidak munasabah kerana kedudukan ahli keluarga Anwar dalam PKR bukanlah perkara baru dan sudah pun diterima sebagai sesuatu yang normal sejak 1998 lagi.

Malah, kewujudan parti itu sendiri pada asalnya ialah untuk membela nasib Anwar yang dikatakan dianiaya oleh Tun Mahathir sehingga dipecat dan dipenjara pada 1998 dahulu dengan penglibatan Dr. Wan Azizah dan Nurul Izzah dalam PKR telah bermula sejak daripada awal lagi.

Makanya, mengapa baru sekarang ia harus menjadi isu yang sampai memerlukan Nurul Izzah meletakkan jawatannya?

Tetapi, jika diambil kira perkembangan semasa yang melibatkan tindakan keluar parti beberapa Ahli Parlimen UMNO beberapa hari lalu dan dalam masa yang sama mereka menzahirkan sokongan kepada Tun Mahathir, perletakan jawatan Nurul Izzah tidak mustahil merupakan suatu tindakan protes. 

Pertama, beliau mungkin melakukan protes terhadap Tun Mahathir kerana merasakan ia adalah permainan yang sengaja dicipta untuk terus mengekalkan kuasa dan tidak mahu menunaikan janji menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada bapanya.

Tambahan lagi, bersama keluarnya UMNO beberapa Ahli Parlimen itu, terdedah wujudnya akuan bersumpah melibatkan 36 Ahli Parlimen BN menyokong kepimpinan Tun Mahathir, manakala dalam konteks lumpuhnya UMNO Sabah pula, Tun Mahathir sendiri mengakui bertemu mereka sebelum itu.

Dua hari lalu beliau mengecam mereka yang bertindak keluar UMNO dengan mengatakannya sebagai mengkhianati kepercayaan pengundi.

Sebagai tanda protesnya kepada Tun Mahathir itu, maka Nurul Izzah melepaskan semua khidmatnya yang ada dengan kerajaan persekutuan.

Jawatan beliau di peringkat persekutuan ketika ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia atau TVET.

Kedua, Nurul Izzah juga barangkali  sedang melakukan protes terhadap Anwar sendiri yang dilihat agak perlahan, mendatar, tiada lagi semangat "lawan tetap lawan", malah masih menyatakan kesetiaan kepada Tun Mahathir, meskipun Perdana Menteri melalui gerakan politik yang nyata di depan mata sedang dalam proses mahu "menyembelih" masa depan bapanya.

Sebagai seorang yang diasuh secara semulajadi dengan semangat melawan sejak zaman remaja lagi dengan pelbagai episod percikan darah dan airmata, tidak dinafikan bahawa Nurul Izzah pasti paling kecewa jika buat kali kedua ini bapanya masih tewas lagi dalam pertarungan kuasa kepada Tun Mahathir.

Dalam erti kata lain, protes Nurul Izzah kali ini hanya mahukan Anwar bangun melawan dan menuntut haknya yang telah dipersetujui bersama Pakatan Harapan dalam perjuangan yang telah dilalui sejak lebih 20 tahun lamanya.

Sediakah Anwar akur dengan protes anaknya itu atau beliau sebenarnya ada percaturan lain untuk memastikan kejayaannya mencapai cita-cita menuju mercu kuasa yang diidam-idamkan selama ini?

*Shahbudin Husin adalah penulis buku kritik politik terkenal. Tulisan ini adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya mewakili pendirian kami di Malaysian Update.

No comments


Loading...