Header Ads

Muhammad Adib terima kenaikan pangkat



ALOR SETAR: Anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, menerima kenaikan pangkat secara ‘Posthumus’ dari gred KB19 ke KB22, berkuat kuasa serta merta.
Selain itu, keluarga Allahyarham Muhammad Adib akan menerima pampasan daripada caruman yang dibuat sebanyak RM255,000 yang akan diuruskan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Loading...

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek, menegaskan keputusan kenaikan pangkat itu dibuat bagi meringankan beban keluarga Allahyarham dari segi bayaran pencen.


Katanya, keputusan ini dibuat selepas kerajaan dan kementerian melihat perlunya kenaikan terbabit bagi mengiktiraf jasa dan pengorbanan Allahyarham.
“Pemergian Allahyarham yang sudah bertugas lebih empat tahun amat menyedihkan kerana pengorbanan dan keberanian ketika menjalankan tugas dengan mengetepikan keselamatan diri hingga mengalami kecederaan ketika bertugas.
“Kerajaan juga akan menyegerakan pampasan supaya bebanan yang ditanggung keluarga dapat diringankan,” katanya pada sidang media selepas pengebumian jenazah Muhammad Adib di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As Saadah Kampung Tebengau, Kuala Kedah di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Amer Yusof, berkata jabatannya akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) ketika berdepan situasi rusuhan bagi mengenal pasti sebarang risiko supaya kejadian yang menimpa Muhammad Adib tidak berulang.
“Kita sudahpun mempunyai SOP yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) namun akan diteliti lebih terperinci supaya lebih efektif,” katanya.
Terdahulu, lebih 1,000 penduduk kampung termasuk keluarga dan serta anggota dan pegawai bomba hadir memberi penghormatan terakhir kepada Muhammad Adib sejak jam 7 pagi.
Jenazah Muhammad Adib diterbangkan menggunakan helikopter MI17-IV JBPM dan tiba padang Sekolah Kebangsaan Kampung Tebengau, di sini, jam 10.35 pagi.
Perjalanan yang memakan masa dua jam itu selepas jenazah yang ditemani ibu bapanya dan tunangnya, Nurul Najihah Mohd Rodzi diterbangkan dari Pangkalan Udara Subang, Selangor jam 7.55 pagi selepas menjalani bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur.
Jenazah yang diuruskan mengikut istiadat kebombaan di mana seramai 200 anggota dan pegawai berpakaian uniform lengkap bersongkok mengiringi jenazah sehingga ke rumah ibu bapanya di Kampung Tebengau Tepi Laut, di sini terlebih dahulu untuk penghormatan terakhir.

Solat jenazah diimamkan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang manakala bacaan talkin disempurnakan imam masjid, Zainuddin Hassan dan dibantu Timbalan Pengerusi masjid, Abdul Wahab Chik.
Muhammad Adib parah dipukul perusuh di kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, 27 November lalu disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam tadi di Institut Jantung Negara
-Berita Harian

No comments


Loading...