Header Ads

Mohd Isa mengaku tak salah kes pecah amanah dan pembelian hotel

Mohd Isa (depan dua, kiri) tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta kira-kira 8.30 pagi bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah dan rasuah berhubung kes pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC). - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebentar tadi atas pertuduhan pecah amanah dan rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Syarikat Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Mohd Isa yang berbaju batik hijau muda membuat pengakuan itu di hadapan hakim Azura Alwi.

Loading...


Bagi pertuduhan pertama, Mohd Isa sebagai  Pengarah Syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) yang diamanahkan dengan dana syarikat itu didakwa melakukan pecah amanah dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suit di Kuching Sarawak dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Felda.

Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda Bil 303 bertarikh 25 Jun 2013 yang dibuat berkenaan pelaksanaan amanah tersebut di mana ahli lembaga pengarah Felda memberi mandat kepada Ahli Lembaga Pengarah Syarikat FIC dalam membuat keputusan pelaburan yang melibatkan projek bernilai RM100 juta ke bawah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 50 Menara Felda Platinum Park, No11 Persiaran KLCC pada 29 April 2014.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga kesepuluh, Mohd Isa didakwa secara rasuah menerima suapan untuk dirinya iaitu wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM3,090,000.00 daripada Ikhwan Zaidel iaitu ahli lembaga pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd melalui Muhammad Zahid Md Arip sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian berkenaan oleh pihak Syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd yang bernilai RM160 juta.

Mohd Isa didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Tingkat 49 Menara Felda Platinum Park, No11 Persiaran KLCC  di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar manakala Mohd Isa diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran dan peguam Ridha Abdah Subri.


Mahkamah membenarkan Mohd Isa diikat jamin RM800,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan pasport diserah kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 25 Januari depan.

No comments


Loading...