Header Ads

Minta jawatan, kontrak, Syed Saddiq kata PPBM 'bukan Umno'


PUTRAJAYA — Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan semua anggota parti itu agar tidak membawa budaya meminta kontrak perniagaan dan jawatan ke dalam parti berkenaan.

Beliau menegur beberapa perwakilan yang kerap membangkitkan isu kontrak dan jawatan, seolah-olah dijadikan fokus utama Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) tahun ini.

Loading...

"Imbas semula apabila kita bermula, menggagaskan Bersatu. Ingat semula di mana kita pada masa tersebut. Kita tiada jawatan, tiada harta, tiada kontrak... yang ada semua dilucutkan dan disekat.

"(Sekarang) Sampai boleh kata mana lantikan GLC, saya tengah tunggu. Rakan-rakan, kita bukan Umno. Nilai semula. Tengok cermin. Di Perak kita ada satu kerusi. Nak semua benda, GLC nak, jawatan nak, kontrak nak. Itu sangat bermasalah," katanya ketika menggulung perbahasan pada PAT parti itu di sini, hari ini.

Syed Saddiq yang dilihat agak marah dengan gesaan perwakilan itu menyifatkan perkara itu sebagai tidak masuk akal.

”Bayangkan, itu boleh jadi kes SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).  Kalau layak, guna saluran yang betul. Pergi (tengok perhimpunan)  PKR, DAP,  Amanah. Umno dulupun tak seberani ini nak bincangkan isu ini di depan khalayak umum! Mana maruah kita,” katanya.

Gesaan Syed Saddiq itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Naib Presiden Bersatu Ab Rashid Ab Rahman yang berpendapat semua semua ketua bahagian mesti mendapat aktiviti dan peluang supaya mereka mampu dari segi kewangan untuk  mempertahankan kedudukan parti.

"Dalam PRU kita kena menang by hook or by crook, dengan apa cara sekalipun kita kena menang. Saya tengok dalam keadaan sekarang, kita tak dapat pertahan kedudukan sebagai pemerintah. Ketua bahagian ditinggalkan begitu saja,” katanya dalam ucapan penggulungannya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Armada Ulya Aqamah Husamubin dalam satu sidang media bagi mempertahankan pendirian ketuanya berkata kenyataan Abd Rashid itu adalah pandangan peribadi dan Armada tetap menolak perkara seperti itu.

“Armada menyokong sekiranya pemberian kontrak kepada mereka yang layak, namun kami tak setuju salah guna kuasa kepada mana-mana secara “direct nego” (perundingan terus), dan  akan keluar untuk perangi agenda seperti itu dalam parti. Kami tidak akan teragak-agak untuk melaporkan kesalahan itu kepada pihak berkuasa,” katanya.

Dalam ucapan penggulungannya itu, Syed Saddiq turut mengingatkan anggota Bersatu agar tidak bermusuhan dengan anggota parti lain.

Katanya anggota Bersatu tidak boleh taksub bermusuhan sampai ke satu tahap tidak boleh berkawan langsung.

"Tadi ada dua perwakilan yang kata tak boleh beri ruang atau muka langsung kepada pembangkang. Tak boleh, mereka musuh kita. Memang mereka musuh politik kita. Tetapi kita perlu insafi dan ingat apa yang kita janjikan kepada rakyat sebelum ini. Kenapa rakyat memilih kita?.

“ Rakyat pilih kita bukan kerana mereka nak melihat Pengerusi Bersatu sebagai Pengerusi Tabung Haji. Mereka tak kisah pengerusi itu Bersatu, Umno, PKR tetapi mereka nak orang yang berwibawa," katanya.

Syed Saddiq berkata paling mustahak mereka tidak boleh taksub bermusuhan sehingga lupa agenda nasional dan negara

"Kalau kita nak hukum empat juta anggota Umno  yang sedia ada, bila saya nak berurusan saya nak kena tanya 'Kau ahli mana? Kau ahli Umno? Tak naklah'. Mereka itu saudara se-Islam kita, mereka juga rakyat Malaysia yang sanggup berdiri tegak apabila menyanyikan lagu Negaraku," katanya.

Sementara itu, Ketua Srikandi Bersatu Datuk Seri Rina Harun yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, berkata peningkatan pembangunan luar bandar terutamanya melibatkan kemudahan asas rakyat seperti bekalan air dan elektrik serta jalan raya akan terus menjadi teras utama kerajaan baharu.

“Bila mewarisi kerajaan kleptokrat yang telah perintah selama 60 tahun, sudah pasti ada kepincangan dan ketirisan. Oleh itu dalam tempoh dua bulan awal dalam kabinet baharu ini, saya telah melihat semula polisi dan dasar terdahulu.

“Kita lihat banyak permintaan daripada rakyat dalam pembinaan rumah. Ada negeri yang membuat permohonan membina rumah melebih kuota pembinaan yang dibenarkan,” katanya.

Justeru Rina berkata kerajaan dalam proses menyiapkan rumah prototaip  pada harga yang lebih murah tanpa menjejaskan kualiti dan saiz rumah agar rakyat mendapat manfaat. — Bernama

Loading...