Header Ads

Lompat parti kukuhkan UMNO pada masa hadapan - Jamil Khir



ALOR SETAR: UMNO Kedah menyifatkan situasi lompat parti yang sedang berlaku dalam kalangan pemimpinnya ketika ini akan mengukuhkan parti itu pada masa hadapan.
Pengerusinya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata UMNO selepas proses pemutihan ini hanya akan ditunjangi mereka yang setia dan sayangkan parti sahaja.

Loading...

Beliau berkata, setakat ini juga tiada bahagian UMNO di Kedah terbubar akibat tindakan lompat parti termasuk UMNO Langkawi yang masih kekal.
“Saya sudah menghubungi Ketua UMNO Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad dan beliau maklumkan bahagian itu tetap utuh, walaupun selepas tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid keluar UMNO.
“Dakwaan mengenai lebih ramai ahli akan keluar parti pun tidak berasas, itu hanya cubaan pendekatan psikologi untuk melemahkan parti, senarai nama yang diuar-uar akan keluar parti pun tidak betul dan mereka masih ada dalam parti sehingga kini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia Isnin lalu, di Institut Jantung Negara (IJN) selepas dipukul perusuh dalam kejadian di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada 27 November.

Media semalam melaporkan Mohd Rawi yang menjadi ADUN Ayer Hangat selama dua penggal selain pernah menjadi Timbalan Ketua Bahagian UMNO Langkawi bersama tujuh ketua cawangan mengumumkan keluar parti. 
-Berita Harian

No comments


Loading...
loading...