Header Ads

K'jaan gesa Norway kaji semula pengharaman bahan api sawit


Keputusan Norway, negara pertama di dunia yang mengharamkan biobahan api berasaskan minyak sawit, memberi kesan besar ke atas hubungan perdagangan antara Malaysia dan Persatuan Perdagangan Bebas Kesatuan Eropah (EFTA), kata Menteri Perusahaan Utama Teresa Kok.

Norway ialah anggota EFTA.

Kok berkata pendirian Norway itu akan menjadi penghalang utama dalam memuktamadkan rundingan perdagangan Malaysia-EFTA.


Loading...
“Kami tidak yakin bahawa penilaian ke atas minyak sawit telah dilakukan secara adil dan saksama. Tanpa definisi yang jelas dan tepat, dan berdasarkan keputusan yang tidak disokong oleh fakta-fakta yang disahkan, kami bimbang Norway, seperti beberapa negara di Eropah, akan menggabungkan semua pengeluar minyak kelapa sawit sebagai penggerak kepada penebangan hutan, dan oleh itu, dianggap tidak mampan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kok membuat kenyataan itu sebagai respon kepada undi Parlimen Norway pada awal bulan ini untuk mengehadkan dan menghentikan penggunaan minyak sawit menerusi tindakan dan cukai dalam dasar biobahan api bermula 2020.

"Trend yang tidak betul ini juga merupakan asas mengapa Majlis Negara Pengeluaran Minyak Sawit, termasuk pengeluar minyak sawit utama Indonesia dan Malaysia, baru-baru ini menolak jemputan untuk bekerjasama pada bengkel Kesatuan Eropah mengenai Perubahan Penggunaan Tanah Tidak Langsung (Iluc) berhubung pengeluaran minyak sawit, kerana kurangnya ketelusan dan kredibiliti berkenaan keseluruhan proses Iluc.

"Tindakan seperti ini menimbulkan ketidakadilan dan diskriminasi terhadap produk dari negara-negara membangun seperti Malaysia," katanya.

Sebagai pengeluar minyak sawit yang bertanggungjawab, Kok berkata Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan amalan mampan dalam keseluruhan rantaian nilai minyak sawit.

"Malaysia mematuhi Agenda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 dalam Pembangunan Mampan dan 17 matlamat pembangunan mampannya," katanya.

Kok berkata kementerian itu mengambil maklum bahawa Parlimen Norway telah meminta pemerintahnya untuk mengehadkan dan menghentikan penggunaan minyak sawit secara berperingkat menerusi pelbagai langkah dan cukai dalam dasar biobahan api yang ‘tidak termasuk biobahan api dengan risiko penebangan hutan yang tinggi di dalam dan di luar mandat pengadunan", berkuat kuasa 1 Januari 2020.

"Bagaimanapun, kami menggesa Norway supaya mengkaji semula dasar diskriminasi ini dan mempelawa penggubal undang-undang Norway datang ke Malaysia untuk melihat sendiri dan memahami amalan mampan yang menjadi ciri utama industri minyak sawit Malaysia," katanya. -Bernama

No comments


Loading...