Header Ads

' kena tapis dulu, baru boleh masuk Bersatu ' - Muhyiddin



KUALA LUMPUR - Bersatu sentiasa mengamalkan 'pintu terbuka’  terhadap permohonan daripada bekas ahli mana-mana parti pembangkang dengan syarat mereka melepasi proses tapisan yang ditetapkan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mereka yang berkenaan juga perlu bebas daripada  amalan rasuah, salah guna kuasa atau sabitan atas kesalahan jenayah.

Loading...


Beliau berkata penyertaan dalam Bersatu tidak bermakna seseorang individu boleh terlepas daripada tindakan undang-undang jika terdapat kesalahan yang dilakukan pada masa lalu.

“Suka saya menegaskan bahawa Bersatu mempunyai dasar, peraturan dan mekanisme sendiri dalam mempertimbangkan kemasukan anggota baharu seperti mana yang diperuntukkan oleh perlembagaan parti.

“Sebagai sebuah parti yang demokratik, Bersatu bersedia menerima keanggotaan mana-mana individu selagi ia selari dengan dasar, peraturan dan mekanisme yang telah ditetapkan oleh parti,” katanya dalam catatan terbarunya di Facebook.

Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, menurut Fasal 8 Perlembagaan Bersatu, mana-mana individu yang layak, iaitu warganegara berketurunan pribumi berumur 18 tahun dan ke atas, berhak memohon untuk menjadi anggota parti.

Katasnya lagi, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkuasa menentukan status keahlian setiap  permohonan yang diterima berdasarkan beberapa pertimbangan tertentu bertujuan memelihara kepentingan parti.

 ”Sekiranya terdapat sebab-sebab yang munasabah, permohonan menjadi ahli boleh ditolak oleh Majlis Pimpinan Tertinggi,” katanya.


Menurutnya, dasar tersebut terpakai untuk semua individu yang berminat untuk menyertai Bersatu, termasuk Anggota Parlimen, Anggota Dewan Undangan Negeri serta pemimpin parti pembangkang yang mengisytiharkan keluar parti.

“Proses saringan dan penelitian akan dibuat secara terperinci dalam menimbang permohonan mereka,” kata Muhyiddin. - Bernama

No comments


Loading...