Header Ads

Kami bukan pewaris Umno tapi tidak diam demi bela Melayu, kata Dr Mahathir


PUTRAJAYA — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan pewaris Umno tetapi akan bertanggungjawab kepada orang Melayu dan Bumiputera.

Pengerusi Bersatu berkata parti berkenaan yang ditubuh untuk menyelamatkan orang Melayu dan Bumiputera tidak akan berdiam diri dan membiar kehancuran mereka berterusan, lantaran kehilangan pemimpin dan haluan selepas tewasnya Umno.


Loading...
“Hari ini orang Melayu berada dalam keadaan yang tidak menentu dan kehilangan haluan. Parti mereka (Umno) kalah dan berpecah sehingga secara berkesan tidak wujud lagi. Pemimpin mereka bertelagah dan ahli tidak tahu apa yang sudah jadi pada mereka.

“Ada yang keluar dari Umno, ada cuba hidupkan Umno. Ada yang masih fikir mereka sebagai sebuah parti politik boleh bergabung dengan parti-parti lain, mendapat cukup bilang untuk mendirikan kerajaan campuran. Ada pemimpin yang percaya mereka akan pimpin kerajaan campuran baru ini,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan agung tahunan kedua Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini malam tadi.

Perdana menteri berkata Umno sudah dihancurkan oleh pemimpin yang tamak dan menganggap manusia boleh dibeli dengan duit.

“Malangnya yang sebenar menjadi mangsa ialah orang Melayu, penduduk peribumi di negara bertuah ini. Mereka sudah hilang jaguh mereka,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dalam melindungi orang Melayu dan Bumiputera, caranya bukanlah dengan merampas hak dan harta orang lain.

Dalam pada itu, Dr Mahathir mengingatkan perwakilan Bersatu bahawa kemenangan yang dikecapi pada pilihan raya umum lalu datang bersama tanggungjawab yang berat.

Beliau berkata kerajaan kini bertanggungjawab menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto Pakatan Harapan, walaupun tidak mengetahui dengan mendalam keadaan kerosakan yang menimpa negara ketika berkempen sewaktu pilihan raya umum dulu.

“Malangnya, rakyat sudah bosan dan tidak lagi memberi perhatian kepada kesalahan kerajaan terdahulu. Mereka hanya ingin lihat hasil pemulihan negara oleh kita.

“Ramai rakyat yang tidak pun memberi perhatian kepada tindakan undang-undang yang diambil terhadap pemimpin dahulu. Sebaliknya, dengan lantang pemimpin dahulu cuba mengajar kita tentang cara-cara kita tangani masalah. Masalah yang ditinggal oleh mereka,” katanya. — Bernama

Loading...