Header Ads

Jangan segan dan malu perjuang hak bangsa Melayu, pesan Rais Yatim pada Bersatu


PORT DICKSON - Bersatu Negeri Sembilan akan sentiasa memberi teguran yang sihat kepada menteri-menteri Kabinet.

Ketua Badan Pimpinannya, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, menteri baharu ini perlu banyak belajar daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di samping sentiasa mendengar rintihan rakyat.

Loading...


“Kalau sebahagian menteri Bersatu dipandang sebagai hilang punca dan tidak ada keutuhan dalam prestasi mereka, langkah-langkah pembetulan perlu diambil sebelum ‘cacing naik ke mata’.



“Jika dibiarkan lama-kelamaan imej buruknya akan sampai kepada presiden, timbalan presiden dan pengerusi Bersatu,” katanya kepada media selepas Konvensyen Perjuangan Bersatu Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Konvensyen tersebut yang dihadiri lebih 500 perwakilan, dirasmikan oleh Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sementara itu, beliau berkata, ahli-ahli Bersatu perlu konsisten memperjuangkan hal berkaitan bumiputera dan Melayu.

“Jangan segan dan malu untuk memperjuangkan hal bangsa Melayu dan bumiputera seperti berkaitan dengan kuasa politik dan ekonomi.

“Kontrak sosial sebelum merdeka mesti difahami, kena terangkan (kepada kaum lain) kenapa soal dominan siasah Melayu perlu diperjuangkan dan bukan untuk menindas kaum lain,” katanya.

Dalam pada itu, Rais berkata, Menteri Besar Aminuddin Harun akan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Bersatu negeri untuk membincangkan kedudukan parti itu di dalam pentadbiran negeri.

“Hubungan di dalam PH negeri, parti kami dicorotkan dalam kedudukan tertentu. Menteri besar akan bertemu dengan kami dan menilai semula peranan Bersatu di peringkat pentadbiran daerah,” katanya. - Bernama

No comments


Loading...