Header Ads

Hari ini giliran Arul dipanggil SPRM

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah hari ini. - Foto Bernama


PUTRAJAYA - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda Kandasamy hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini,  dipercayai bagi membantu siasatan dakwaan pindaan laporan akhir audit 1MDB.

Beliau tiba di SPRM kira-kira 9.30 pagi.

Loading...


Terdahulu, bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa turut kelihatan berada di ibu pejabat SPRM itu namun media tidak mengetahui tujuan kedatangan beliau.

Pada 25 November lepas, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan laporan akhir audit 1MDB diubah dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tahu mengenai perkara itu.

Madinah turut mendedahkan dua perkara penting digugurkan dalam laporan itu ialah kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB serta status kewangan 1MDB.

Pada hari sama, SPRM dilaporkan berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan berkaitan dakwaan pindaan laporan itu dan akan memanggil beberapa saksi bagi memberi keterangan dan membantu siasatan.

Semalam, Najib ditahan kira-kira dua jam setengah di SPRM ketika hadir untuk dirakam keterangannya  berhubung isu pindaan laporan akhir pengauditan 1MDB itu sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Pada 6 Disember lalu, Najib hadir kali pertama untuk memberi keterangan yang mengambil masa kira-kira empat jam di SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes sama.


Antara yang telah dipanggil SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes ini ialah  bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad. - Bernama

No comments


Loading...