Header Ads

Bersatu rasa terhina dituduh jadi Umno 2.0


PUTRAJAYA — Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa Bersatu akan bertukar wajah menjadi ‘Umno versi 2.0’ dengan ramai bekas pemimpin dan anggota Umno dilaporkan ingin menyertainya.

Loading...

Beliau menegaskan pandangan seumpama itu merupakan satu penghinaan kepada perjuangan Bersatu yang ditubuhkan pada 8 September 2016.
Mohd Radzi menarik perhatian bahawa Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad dan presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin disertai pemimpin dan anggota lain berjuang atas dasar semangat untuk menumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada waktu itu.


Apa yang ditentang, katanya, ialah keburukan kerajaan terdahulu antaranya dari sudut penyelewengan, rasuah dan tadbir urus yang amat lemah.


“Jadi apabila orang kata Bersatu ini akan diambil (alih) oleh Umno, akan dijadikan Umno 2.0, itu satu ‘insult’ (penghinaan) kepada perjuangan parti,” kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata pendedahan demi pendedahan oleh kerajaan Pakatan Harapan berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan institusi seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta entiti melibatkan orang Melayu termasuk Lembaga Tabung Haji dan Felda, dilihat menyedarkan anggota dan pemimpin Umno untuk meninggalkan parti itu.
“Ramai yang cukup marah, seolah-olah mereka diperbodohkan,” katanya, sambil menambah ramai yang dilihat ingin bersama Bersatu yang memperjuangkan kebenaran.
Bagaimanapun, Mohd Radzi menegaskan semua permohonan untuk menyertai Bersatu akan ditapis dengan teliti demi menjaga imej dan integriti parti. — Bernama

No comments


Loading...