Header Ads

Bawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan



SHAH ALAM - Wanita Umno mendesak pihak berkuasa membawa mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kematian pegawai bomba, Muhammad Adib  Mohd Kassim ke muka pengadilan sekali gus mengenakan hukuman keras terhadap pihak itu.

Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, pihaknya juga menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara menyempurnakan siasatan terhadap kes tersebut.

Loading...


Menurutnya,  Wanita Umno dan seluruh rakyat bersedih atas pemergian Muhammad Adib yang parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November yang lalu.

Katanya, pemergian Muhammad Adib mengejutkan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus berdoa Allahyarham selamat selepas 21 hari bertarung nyawa akibat kecederaan parah di bahagian paru-paru selepas dipukul perusuh dalam kejadian tragedi rusuhan kuil berkenaan.

"Kes Adib kini diklasifikasi polis sebagai kes bunuh dan kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

"Sekiranya, terbukti wujudnya elemen jenayah, undang-undang perlu ditegakkan dan mereka yang bertanggungjawab sebabkan kematian Adib mesti dibawa ke muka pengadilan serta dihukum sekeras-kerasnya," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berharap, keluarga dan tunang Allahyarham, Nurul Najihah Mohd Radzi tabah menghadapi dugaan yang menimpa.

"Takziah kepada keluarga Allahyarham Adib yang meninggal dunia pada jam 9.41 malam tadi ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).


"Takziah juga kepada Nurul Najihah  yang dijadual melangsungkan perkahwinan dengan Adib  pada Sabtu ini. Segala yang berlaku adalah ketentuan ALLAH. Semoga Nurul Najihah tabah menghadapi dugaan ini. Redakanlah pemergiannya dan lepaskanlah dia menemui pencipta-Nya.

"Semoga Allahyarham Adib diampun dosanya dan diberi ganjaran yang sewajarnya oleh ALLAH SWT atas jasa serta bakti menjalankan tugas demi keamanan negara sehingga terkorban nyawa.Al-Fatihah untuk wira negara ini," katanya lagi.

-sinar harian

No comments


Loading...