Header Ads

ARMADA perlu berfikir seperti kerajaan - Syed Saddiq



KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) perlu berfikir seperti kerajaan dan bekerja keras seolah-olah mereka pembangkang dalam menjuarai dan mencari penyelesaian pelbagai isu serta agenda yang dekat di hati anak muda selain masyarakat.
Dalam membuat gesaan itu, Ketua ARMADA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata dalam perjuangan, mereka juga perlu menjauhi daripada terjebak dengan budaya bermewah-mewah.

Loading...

”Anak muda, baik lelaki atau wanita, adalah barisan utama dalam membawa isu-isu relevan dan berusaha mencari jalan penyelesaian. Kita jangan fikir soal kemewahan.
“Kerana dulu, tanpa duit pun kita mampu berjuang. Budaya sebeginilah yang kita perlu kekalkan,” katanya dalam temu bual bersama beberapa organisasi media menjelang Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) mulai esok hingga Ahad.
Perhimpunan ARMADA, yang juga sayap Pemuda BERSATU, dijadual berlangsung di lokasi sama pada esok dan Sabtu dengan kehadiran kira-kira kira-kira 800 perwakilan.
Syed Saddiq, yang juga Menteri Belia dan Sukan, seterusnya berkata perjuangan ARMADA perlu dilakukan termasuk melalui program turun padang dengan berinteraksi bersama khalayak dalam suasana santai seperti di kedai mamak, dan bukan sekadar di upacara rasmi dan ‘majlis potong reben’.
Ketua ARMADA itu berkata beliau akan mengupas lebih lanjut mengenai hala tuju sayap itu dan landskap politik dalam ucapannya pada perhimpunan berkenaan.
“Melalui konvensyen ARMADA itu, kita ingin pastikan anak muda mendapat banyak tempat dan mempunyai penggerak di setiap lapisan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata isu lompat parti, peluang pekerjaan, rumah mampu milik selain kelangsungan bangsa Melayu, Bumiputera dan Islam antara perkara yang dijangka diangkat perwakilan ARMADA.
“Banyak lagi isu berkaitan anak muda boleh dibawa sewaktu konvensyen ARMADA itu seperti hasrat melihat kepimpinan (parti dan negara) mengamalkan integriti dalam membangunkan negara agar dihormati dunia,” katanya.
Mengulas isu lompat parti, Syed Saddiq yang juga Anggota Parlimen Muar mempunyai mesej jelas bahawa BERSATU tidak memerlukan kemasukan anggota politik yang terpalit dengan salah laku atau unsur jenayah di bawah pemerintahan kerajaan terdahulu.
Ia merujuk kepada tindakan lompat parti membabitkan anggota UMNO terutama Ahli Parlimen dan pemimpinnya untuk menyertai parti lain termasuk BERSATU yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Syed Saddiq berkata Armada sedar bahawa Bersatu perlu memperkukuhkan parti namun permohonan kemasukan mana-mana bekas pemimpin pembangkang perlu diperhalusi sebelum dibenarkan berbuat demikian.

“Jika ada perompak dan pencuri masuk BERSATU, saya sendiri akan keluar BERSATU,” tegasnya.
Menurutnya, kemasukan mana-mana bekas anggota atau pemimpin UMNO tidak harus menjurus kepada kes mahkamah membabitkan mereka, jika ada, digugurkan hanya kerana menyatakan sokongan kepada BERSATU mahupun Pakatan Harapan.
Syed Saddiq menarik perhatian bahawa kemasukan pemimpin berpengalaman daripada UMNO tidak harus dilihat sebagai ‘signal’ atau isyarat untuk meminggirkan barisan pemimpin muda BERSATU yang bersedia mencorak parti berbekalkan kepercayaan dan hala tuju yang jelas.
PAT Bersatu itu dijangka dihadiri kira-kira 3,000 perwakilan merangkumi 135 Bahagian di seluruh negara termasuk wakil ARMADA dari 115 Bahagian dan wakil Srikandi daripada 98 Bahagian. - BERNAMA

No comments


Loading...