Header Ads

PRK DUN Rantau diadakan jika tiada rayuan - SPR


PUTRAJAYA - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau hanya akan diadakan jika tiada rayuan dibuat terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya di Seremban yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan di DUN itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas sebagai batal dan tidak sah.


Loading...
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata ini berikutan keputusan mahkamah itu untuk tidak memberi perakuan keputusan tersebut sehingga tamat tempoh 14 hari bermula hari ini untuk mana-mana pihak mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

"Pilihan Raya Kecil (PRK) hanya akan diadakan sekiranya tiada rayuan atau proses rayuan di Mahkamah Persekutuan telah selesai sepenuhnya," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Azhar berkata di bawah undang-undang, SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia menerima perakuan tersebut.

Buat masa ini, katanya SPR perlu menunggu perakuan keputusan Mahkamah Pilihan Raya atau sehingga tempoh 14 hari untuk rayuan tamat bagi tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Azhar berkata SPR akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Pilihan Raya dan akan membuat keputusan sama ada rayuan perlu dibuat ke Mahkamah Persekutuan.

"SPR sentiasa bersedia untuk menjalankan PRK sekiranya ia perlu diadakan," katanya. - Bernama

No comments


Loading...
loading...