Header Ads

Pengarah syarikat didakwa ‘suap’ Ku Nan RM1 juta

Foto Astro Awani

Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan memberi suapan wang berjumlah RM 1 juta berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, pada tahun 2013.

Datuk Tan Eng Boon yang memakai kot warna kelabu membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.


Loading...
Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan mengetuai barisan pendakwaan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Akram Gharib, manakala barisan pembelaan diketuai peguam Faisal Moideen.

Tan, 70, didakwa telah secara rasuah memberikan suatu suapan bagi faedah kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor, 68, iaitu, wang berjumlah RM1 juta melalui cek Public Bank bernombor 300109 milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank no. akaun 14200008384058 milik beliau.

Tan didakwa melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi beliau kerana telah melakukan suatu perkara yang sebenar, iaitu, meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Beliau melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Level 2, Podium Block, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur, pada 27 Dis 2013, pertuduhan adalah mengikut perenggan 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pengarah syarikat itu juga dituduh dengan pertuduhan pilihan iaitu telah bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Tengku Adnan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk dirinya suatu barang berharga dengan tiada balasan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada Tan melalui cek Public bank bernombor 300109 milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank no. akaun 14200008384058 miliknya, yang mana beliau ketahui Tan sebagai seorang Pengarah di syarikat Nucleus Properties Sdn. Bhd. (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) ada perhubungan dengan kerja-kerja rasmi beliau sendiri, yang mana kesalahan tersebut telah dilakukan hasil persubahatan itu.

Beliau melakukan kesalahan itu di tempat dan tarikh yang sama, pertuduhan adalah mengikut seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 165 Kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

- Bernama

No comments


Loading...