Header Ads

PAC: Zambry, Aminuddin perlu hadir


Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak mengarahkan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Aminuddin Hashim hadir pada sesi pendengaran awam, minggu depan.

Loading...

Pengerusinya, Leong Cheok Keng berkata, mesyuarat pada 15 November yang dihadiri oleh kesemua ahli PAC kecuali Adun Slim, Mohd Khusairi Abdul Talib bersetuju untuk memanggil kedua-dua individu terbabit.

Katanya, PAC tetap akan meneruskan proses pendengaran awam berhubung siasatan ke atas Perbandanan Menteri Besar (MB Inc).

"Selepas mesyuarat itu, saya serta merta dah arahkan pegawai untuk hantar notis dan surat bagi memanggil Zambry dan Aminuddin sebagai saksi.

"Jadi kalau betul-betul telus, Zambry kena hadir pada sesi pendengaran awam ini dan jika tidak kita akan berbincang dengan jawatankuasa untuk tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi menjawab kenyataan Adun Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim dan Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria yang merupakan ahli PAC, semalam.

Hadir sama pada sidang media itu, Adun Teja, Sandrea Ng dan Adun Keranji, Chong Zhemin.
Dalam perkembangan berkaitan, Cheok Keng turut menyangkal dakwaan Aznel dan Razman keputusan memanggil kedua-dua individu tersebut dibuat secara bersendirian tanpa pengetahuan semua anggota PAC.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai bukti berdasarkan rekod sepanjang mesyuarat itu berlangsung malah Aznel dan Razman turut bersetuju dengan keputusan mesyuarat berkenaan.

Katanya, malah pada sidang media selepas mesyuarat pada 15 November lalu, Razman turut berada bersama-samanya dan tidak ada sebarang bantahan pun dibuat ketika itu.

"Saya menyangkal kenyataan itu. Saya ingin menegaskan bahawa PAC akan bertindak secara profesional, bebas dan terbuka. Oleh itu kami memanggil pendengaran awam yang terbuka.

"Kami tidak akan dipengaruhi oleh pertimbangan politik dan saya juga harap ahli-ahli yang lain juga tidak dipengaruhi oleh pertimbangan politik," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap Zambry dan Aminuddin dapat memberikan kerjasama sebagai saksi terhadap siasatan yang dibuat. - Sinar Harian

No comments


Loading...