Header Ads

Masih ada sabotaj, tapi dah kurang, kata Dr M


Budaya mensabotaj pelaksanaan dasar-dasar kerajaan masih wujud dalam kalangan kakitangan perkhidmatan awam, namun jumlahnya sudah berkurangan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau masih bercakap mengenai isu itu kerana 'kerja pembersihan' di dalam jabatan dan agensi kerajaan tidak boleh dibuat dalam jangka masa yang singkat.


Loading...
"Masih ada pegawai yang tidak komited...misalnya berlaku ada kakitangan empat bulan tidak dibayar gaji sedangkan ia boleh dilakukan, saya tidak faham kenapa.

“…..kerana nila setitik rosak susu sebelanga," katanya dalam sesi soal jawab di Majlis Perjumpaan Pegawai Kanan Kerajaan bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi di Langkawi, malam tadi.

Beliau berkata perkara berkaitan sabotaj itu juga sering dibangkitkannya dengan tujuan sebagai peringatan supaya semua jentera kerajaan tidak melakukan perkara yang salah, sebaliknya menjalankan tanggungjawab,mereka dengan amanah.

Mahathir berkata kakitangan awam juga harus bertoleransi dengan pegawai-pegawai khas lantikan politik yang kurang arif dalam pentadbiran dan sebaiknya mengelakkan sebarang perbalahan.

"Orang baru ni kena belajar, kalau tak ada langsung sabar, tak dapat bekerjasama, sebab tu kita kena tolak ansur sedikit sebanyak," katanya.

Beliau berkata semua pihak perlu belajar untuk menghadapi kekurangan bukan dengan kemarahan, tapi membetulkan apa yang salah dengan baik.

Katanya dunia mengiktiraf pemerintahan Malaysia sudah pulih dengan baik walaupun tidak sepert dahulu.

"Mereka perhati dan tanya apa nak buat... Perdana Menteri Pakistan datang nak tanya kita sedikit sebanyak yang dah berjaya dapat laksanakan tugas kita.

"Kerosakan pemerintah terdahulu sangat dahsyat hingga kita pun hairan, tapi kini kita dapat pulihkan pentadbiran negara walaupun belum lagi capai tahap yang memuaskan," katanya.

- Bernama

No comments


Loading...