Header Ads

K'jaan digesa segerakan garis panduan dana politik


Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu menyegerakan garis panduan yang jelas dan lengkap mengenai dana politik yang diterima dalam kalangan ahli politik di negara ini.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan berkata ia bagi memastikan ketelusan ahli politik menggunakan dana yang diterima oleh mana-mana pihak bagi tujuan menjalankan kegiatan politik mereka.


Loading...
Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata ini kerana proses deklarasi dana politik yang ada ketika ini agak kurang jelas dari segi pelaksanaannya selain rakyat perlu mengetahui mengenai sumber dan dana sesebuah parti politik.

"Sekarang ini apabila kita mahu 'declare' (dana politik) pun boleh, tak mahu 'declare' pun boleh kerana ia tidak menjadi satu kesalahan. Sebagai contoh, sekiranya ada pihak memberikan sumbangan peribadi kepada saya untuk disalurkan kepada mangsa bencana, adakah itu dikira sebagai pendapatan yang perlu dikenakan cukai pendapatan atau sebaliknya.

"Perkara sebegini memerlukan penelitian dengan lebih mendalam supaya pihak yang memberikan sumbangan itu niatnya sampai kepada rakyat dan pada masa yang sama pihak yang menjalankan tugas sebagai ahli politik tidak terperangkap dengan sumbangan yang diterimanya kerana mungkin ia menjadi satu kesalahan," katanya.

Wan Saiful ditemui pemberita selepas menganggotai panel jemputan Seminar Pemerkasaan Integriti Negeri Perak anjuran Institut Integriti Malaysia dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Ipoh, Perak hari ini.

Seminar sehari bertemakan 'Integriti dan Akuantabiliti Tonggak Kelestarian Pengurusan Berkualiti' menampilkan Wan Saiful dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak Datuk Zainul Darus sebagai panel jemputan.

- Bernama

No comments


Loading...