Header Ads

Kereta mewah tidak layak terima subsidi petrol


KUALA LUMPUR - Pemilik kereta mewah tetap tidak akan menikmati subsidi petrol bersasar walaupun enjin kenderaan mereka berkapasiti 1,500 cc ke bawah, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kementerian itu sedang mengkaji dan memperhalusi secara terperinci mekanisme pemberian subsidi itu termasuk dari aspek jenis ataupun model kereta yang layak menerima subsidi tersebut yang dijadualkan akan dilaksana pada suku kedua 2019.


Loading...
"Selain daripada cc kereta, kita akan lihat dari segi model atau jenis kereta. Kalau ada kereta mewah yang cc-nya 1500 ke bawah, mereka tetap tidak akan layak menerima subsidi petrol bersasar.

"Contohnya, kereta mewah Mercedes, BMW, Range Rover, Audi atau Volkswagen, sekiranya 1500 cc ke bawah, tidak akan menikmati subsidi bersasar," katanya menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) pada sesi soal jawab.

Justeru, katanya tidak timbul isu bahawa kereta mewah juga akan menikmati subsidi bersasar petrol tersebut.

Mengulas lanjut, Lim berkata subsidi bersasar petrol RON 95 itu bakal memanfaatkan empat juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal apabila ia dilaksanakan.

Semasa membentangkan Belanjawan 2019 pada 2 November lepas, Lim telah mengumumkan bahawa kerajaan akan mengapungkan semula harga petrol RON95 mulai tahun depan mengikut Mekanisme Harga Automatik.

Bagaimanapun bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah, inisiatif subsidi petrol bersasar akan dilaksanakan dengan pemberian subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal. - Bernama

No comments


Loading...
loading...