Header Ads

Himpunan bantah ICERD tidak perlu diadakan - Muhyiddin

MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI


KUALA LUMPUR: Sebarang bentuk perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak perlu diadakan susulan keputusan kerajaan tidak akan meratifikasikannya, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata sebarang tindakan untuk meneruskan perhimpunan itu adalah tidak munasabah.

Loading...

“Sekiranya pihak penganjur meneruskan juga hasrat mengadakan perhimpunan itu, saya ingin menegaskan bahawa penganjurannya adalah tertakluk kepada Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Pihak penganjur hendaklah mematuhi peruntukan akta ini dan segala syarat yang ditetapkan oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata jika terdapat cubaan mana-mana pihak untuk mencetuskan ketegangan kaum dan agama menerusi perhimpunan itu, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka berlandaskan undang-undang negara.
“Sementara kerajaan meraikan hak individu untuk bersuara dan berhimpun seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, hak-hak ini hendaklah diamalkan menurut kehendak undang-undang,” kata Muhyiddin.
Muhyiddin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan atau membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan kaum dan agama serta menjejaskan ketenteraman awam.

Katanya, undang-undang berkaitan hasutan masih berkuat kuasa dan tindakan tegas boleh diambil ke atas mana-mana individu yang sengaja mencetuskan sentimen kaum.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini menyatakan kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini. – BERNAMA

No comments


Loading...