Header Ads

Hishammuddin beri keterangan kes bekas ketua risikan

Datuk Seri Hishammuddin Hussein - Foto Berita Harian

Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan telah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah membabitkan bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Menurut laporan The Malaysian Insight hari ini, beliau berbuat demikian secara sukarela selepas namanya dibangkitkan oleh peguam Hasanah di mahkamah Sabtu lalu.

"Saya jumpa SPRM dengan sukarela dan saya akan beri kerjasama penuh tanpa rasa gentar atau pilih kasih. Mereka amat profesional dan saya percaya mereka akan siasat perkara ini dengan adil dan telus.


Loading...

"Saya juga akan menyemak dengan SPRM mengenai apa yang dikatakan peguam itu," katanya seperti dipetik.

Laporan itu juga memetik sumber SPRM yang mengesahkan perkara itu dan berkata soal siasat berjalan selama tiga jam di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, semalam.

Sabtu lalu, Mahkamah Majistret Putrajaya hanya memberikan lanjutan reman sehari kepada Hasanah, berbanding tujuh hari yang diminta SPRM.

Bercakap dengan pemberita selepas prosiding itu, peguam Shaharuddin Ali berkata antara sebab permohonan SPRM itu adalah kerana suruhanjaya itu mahu mengambil keterangan Hishammuddin dan dua kerabat diraja Arab Saudi, selain memanggil pulang tiga pegawai MEIO di Abu Dhabi.

Shaharuddin berkata ketika prosiding Hasanah telah menafikan penglibatan Hishammuddin dan dua kerabat diraja itu dalam kes tersebut.

Hasanah ditahan pada 28 Ogos lalu berhubung dakwaan penyelewengan dana sehingga AS$12 juta yang dipercayai untuk PRU ke-14.

Selain itu tujuh lagi bekas kakitangan MEIO turut disoal siasat berhubung kes itu.

Menurut laporan The Malaysian Insight itu lagi, SPRM juga dikatakan sedang mengesahkan sama ada Hishammuddin turut menerima sebahagian daripada wang itu. - Malaysiakini

No comments


Loading...