Header Ads

Felda perlu dana RM955 juta untuk projek perumahan generasi baru


Felda memerlukan suntikan dana sebanyak RM955 juta untuk menyiapkan projek Perumahan Generasi Baharu Felda yang kini dikelaskan sebagai tergendala, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Katanya Felda sebelum ini komited untuk membangunkan sebanyak 8,314 unit rumah di bawah projek itu dengan kos pembangunan kasar RM1.65 bilion.

"Daripada jumlah tersebut 1,234 unit siap sepenuhnya dengan 563 unit telah diserah dan 671 unit lagi masih di peringkat pemilihan peserta, sebanyak 5,346 unit masih dalam pembinaan manakala 1,734 unit lagi dikelaskan sebagai terbengkalai.

Loading...


"Felda telah membelanjakan sebanyak RM696 juta di mana RM200 juta adalah daripada peruntukan kerajaan melalui Bajet 2017 dan RM496 juta melalui sumber dalaman Felda," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Katanya kerajaan berpandangan bahawa Felda perlu mencari penyelesaian segera bagi mengatasi isu perumahan terbengkalai dan menggiatkan semula program perumahan yang tergendala itu.
Sehubungan itu, katanya Felda perlu melihat semula fungsinya sebagai pelaksana program pembangunan perumahan tersebut dan tidak terbabit sebagai pemaju perumahan secara langsung kerana ia bukan sahaja melibatkan soal kepakaran dan pengalaman bahkan paling utama kemampuan kewangan Felda itu sendiri.

"Bagi mengelakkan projek perumahan tergendala ini, pihak pengurusan Felda mesti sedar bahawa ada beberapa pilihan tindakan boleh diambil termasuk membuka ruang kepada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan untuk membantu Felda (dalam menyelesaikan projek itu) selain meneruskan dan mempertingkatkan lagi kerjasama dengan kerajaan negeri.

"Sebagai contoh, kerjasama Felda dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan juga Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang dimulakan pada November 2017 di mana PKNS membangunkan projek perumahan itu di Felda Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor dan projek itu telah memenuhi matlamatnya," katanya.

- Bernama

No comments


Loading...