Header Ads

Dr M: Hasil SST dan kutipan sebenar GST tak banyak beza


Tidak terdapat perbezaan ketara di antara hasil kerajaan daripada SST dan kutipan sebenar GST, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata tabung bayaran balik GST memberi gambaran seolah-olahnya GST dapat menjana lebih banyak wang untuk kerajaan.

"Pendapatan GST itu tidak seperti angka yang disebut oleh kerajaan yang dahulu. Katanya mereka dapat kumpul sehingga 40 billion ringgit GST, tetapi kita dapati bahawa sebahagian daripada wang itu perlu diberi balik kepada mereka yang bayar cukai kerana kita tak boleh kutip cukai dua kali.


Loading...

"Dengan itu, jumlah SST dengan jumlah yang benar GST tak ada banyak beza. Kita dapati bahawa memadai kalau kita perkenal SST kerana bukanlah GST begitu besar kutipannya sehingga rakyat berasa tertekan,” kata beliau dalam wawancara yang disiarkan di TV1 hari ini seperti dilapor portal Malaysiakini.

Dr Mahathir berkata SST hanya dibayar sekali sahaja berbanding GST.

"Dengan itu, nampak seolah-olah GST itu mengumpul wang yang banyak. SST tak demikian.

"SST dibayar hanya sekali sahaja, tidak berkali-kali. Jadi tak perlu kita balik cukai yang berlebihan yang dikutip," katanya.

Kerajaan memperkenalkan SST bagi menggantikan GST bermula 1 September lalu.

Menjelang pelaksanaan SST, Menteri Kewangan berkata kerajaan menjangkakan untuk mengutip hasil sebanyak RM21 bilion melalui SST tahun hadapan, berbanding RM44 bilion melalui GST. 

Sebelum itu, Lim memberitahu Dewan Rakyat Tabung Bayaran Balik GST kekurang RM19.248 bilion sejak GST dilaksanakan pada 1 April 2015.

Wang dalam tabung itu sepatutnya diguna untuk pembayaran balik kepada tuntutan pembayar cukai.

"Tunggakan bayaran balik adalah disebabkan kelemahan aliran tunai kerajaan persekutuan akibat kekurangan disiplin fiskal, pembaziran yang berleluasa dan pertambahan hutang yang besar.

"Sebenarnya, apa yang dilakukan oleh pentadbiran lama merupakan pemalsuan akaun dan penyelewengan tunggakan bayaran balik cukai untuk kegunaan lain atau untuk menutup defisit supaya mereka dapat menunjukkan keadaan lebihan," kata Lim.

No comments


Loading...