Header Ads

Zawawi teruja buang undi di sekolah lama

Mohd Zawawi bersama isteri, Hazlina, menunjukkan jari berwarna tanda selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Jalan kebun, hari ini.

KOTA RAJA - Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni meluahkan rasa teruja apabila dapat membuang undi di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun yang juga merupakan sekolah lama beliau.

Menurut Mohd Zawawi, hari pengundian bagi PRK Dun Sungai Kandis kali ini juga merupakan satu sejarah apabila sekolah ini turut menjadi tumpuan pemberita bagi membuat liputan.

Loading...

“Pagi ini Alhamdulillah saya diberi kesempatan untuk membuang undi di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun tempat saya bersekolah dulu dan sejarah tercipta hari ini ramai orang datang untuk menemubual calon di sini,” katanya ketika ditemui selepas mengundi hari ini.

Zawawi merupakan calon PKR dalam PRK Sungai Kandis kali ini dan akan berdepan dengan dua lagi seterunya iaitu Datuk Lokman Noor Adam dari BN dan calon Bebas K. Murthy.

Beliau hadir bersama isterinya, Hazlina Abdul Razak di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun kira-kira jam 9.05 pagi bagi membuang undi.

Dalam pada itu, Zawawi turut menggesa pengundi keluar awal bagi menunaikan tanggungjawab mereka dalam memilih wakil rakyat yang berkelayakan.

“Saya harap pengundi dapat keluar awal dan menunaikan kewajipan mereka,”katanya.


Sementara itu, Hazlina berkata dia mendoakan kejayaan Zawawi bagi memenangi PRK pada kali ini dalam usaha untuk menjaga kebajikan rakyat.

“Saya hampir 25 tahun membuat kerja kebajikan dengan beliau dan saya mendoakan kejayaannya kali ini,”katanya.

No comments


Loading...