Header Ads

Tun M tidak tolak kemungkinan adakan semula perlumbaan F1

Tun Dr Mahathir Mohamad memandu kereta Ferrari di litar di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai simbolik perasmian “Circuit Lights”  malam tadi. - Foto: Projek MM

SEPANG, 2 Ogos — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan perlumbaan Formula One (F1), yang kali terakhir dihoskan Malaysia tahun lepas, diadakan semula di negara ini.

“Mungkin,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada pemasangan lampu limpah di sepanjang Litar Antarabangsa Sepang (SIC) boleh dilihat sebagai petanda perlumbaan berprestij itu akan kembali dianjurkan di SIC.


Loading...

Beliau sebelum itu memandu kereta Ferrari di litar sepanjang 5.543 kilometer itu sebagai simbolik perasmian “Circuit Lights” berkenaan di sini malam tadi.

Dr Mahathir bagaimanapun menarik perhatian bahawa kadar pencahayaan lampu limpah yang lebih tinggi diperlukan sekiranya SIC mahu menjalankan perlumbaan pada sebelah malam.

“Kalau untuk F1 pencahayaan kena lebih terang sedikit sebab kadar pencahayaan sekarang tidak berapa cerah. Ia akan menyukarkan kerja-kerja penyiaran,” katanya.

Dr Mahathir berkata SIC berpotensi menjadi kota raya sukan permotoran dan sebagai platform untuk memajukan sukan permotoran di negara ini.



“Sepang boleh menjadi kota raya sukan permotoran di mana setiap orang yang berminat dalam aktiviti seumpama itu atau kejuruteraan boleh datang ke sini dan belajar untuk maju dalam bidang ini,” kata beliau.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata terpulang kepada Kabinet untuk menentukan sama ada perlumbaan F1 akan diadakan semula di Malaysia. — Bernama

No comments


Loading...