Header Ads

Tiada kelibat Tun M di Sungai Kandis

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah), Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali (kanan) dan Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pilihan Raya Kecil (PRK) N49 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni (kiri) pada ‘Grand Finale’ Pilihan Raya Kecil (PRK) N49 Sungai Kandis Parti Keadilan Rakyat di Taman Sri Andalas malam ini.Foto - Bernama

KLANG - Tempoh 14 hari berkempen untuk PRK Dun Sungai Kandis selesai sebentar tadi, namun tiada kelibat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di kem PH.

Sepanjang tempoh kempen, hampir semua pemimpin utama parti baik di kem PH atau kem BN turut membantu kempen, namun tiada program yang melibatkan Mahathir termasuk program ceramah Grand Finale PH.

Loading...

Antara pemimpin utama PH yang turun berkempen di Sg Kandis termasuklah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Difahamkan, Mahathir yang juga Pengerusi PH tidak dapat turut serta pada kempen PRK Sungai Kandis disebabkan terlibat dengan program di Langkawi yang telah dirancang awal.

Ketiadaan Mahathir pada kempen PRK Sg Kandis bagaimanapun diisi oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta beberapa pimpinan negeri.

Terdahulu, calon BN, Datuk Lokman Noor Adam berkata, beliau mengjangkakan Mahathir tidak akan turun membantu berkempen di Sungai Kandis kerana ia perkara kecil.

Sementara itu, kira-kira 1000 orang hadir ke program Ceramah Grand Finale PH yang berlangsung di Taman Rakan Muda Andalas, sebentar tadi.

Program berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jeyakumar dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.


PRK Dun Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PH, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K Murthy.

Hari ini, seramai 51,217 pengundi berdaftar bakal menunaikan tanggungjawab untuk membuang undi bagi memilih Adun bagi kerusi Dun Sungai Kandis.

No comments


Loading...