Header Ads

Sembilan lantikan politik di KBS ditamatkan perkhidmatan

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang media di Dewan Rakyat Parlimen hari ini. Foto - Bernama

KUALA LUMPUR - Sembilan pegawai lantikan politik di Kementerian Belia dan Sukan termasuk mereka yang berjawatan dalam Umno ditamatkan perkhidmatan.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, mereka merupakan ahli lembaga pengarah dan juga pengerusi di bawah agensi kementerian itu antaranya Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (Lyres), Perbadanan Padang Golf Subang, Perbadanan Stadium Malaysia dan Institut Sukan Negara.

Loading...

"Secara langsung atau tidak, mereka memainkan peranan dalam mengerakkan institusi tersebut. Sebab itu khususnya apabila mereka merupakan lantikan politik, perlu ada rombakan semula, khususnya kalau kita lihat contoh Perbadanan Stadium Malaysia yang pegang banyak kontrak melalui Sukan Sea.

"Pada masa sama mereka juga sekarang ini telah melalui proses pengauditan semula..mereka perlu ambil tanggungjawab. Oleh kerana mereka lantikan politik, perlu pembersihan semula," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Syed Saddiq berkata, pembersihan semula itu akan melibatkan pengganti yang bukan daripada lantikan atau ahli politik dari pihaknya.

"Kita akan pastikan pengganti mereka bukan datang dari ahli politik yang ada jawatan. Kalau boleh kita nak tokoh korporat, orang berjawatan, bekas atlet yang sudah lama berkhidmat dan berjasa. Kalau ada pandangan politik, itu hak mereka, tetapi mereka pakar dalam bidang tersebut.


"Kita bukan letakkan mereka di sana hanya kerana mereka merupakan ketua Bersatu bahagian atau badan perhubungan negeri Bersatu kerana selepas ini, kita hendak ia diurus tadbir dengan baik...kerja saya pun senang," katanya.

No comments


Loading...