Header Ads

Guan Eng dedah Arul Kanda terima RM5 juta


KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Selasa dikejutkan dengan pendedahan ganjaran gaji diterima Arul bernilai RM5 juta.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, nilaian gaji berkenaan adalah dalam tempoh enam bulan mulai Januari hingga Jun lalu.

Loading...

Menurutnya, bagaimanapun Arul hanya dibayar setakat RM2.5 juta dan bakinya sepatutnya dijelaskan selepas 30 Jun 2018.

“Imbuhan gaji itu dibayar oleh Tan Sri Irwan Serigar Abdullah (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) yang diluluskan oleh bekas Menteri Kewangan (ketika itu Datuk Seri Najib Razak),” katanya.

Mei lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyelar Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda dengan mendakwa sebagai seorang yang ‘tidak jujur’ dan ‘tidak boleh dipercayai’ selepas pertemuan mereka selama 40 minit di Kementerian Kewangan.

Arul Kanda, kemudiannya mengkritik kenyataan Guan Eng dan menafikan kenyataan berkenaan yang disifatkannya sebagai ‘kenyataan yang cuba menjatuhkan reputasi peribadi’ dan menjelaskan akan berbincang dengan peguamnya untuk kemungkinan mengambil tindakan undang-undang.

Pada Januari 2015, dalam satu kenyataan, pelantikan Arul sebagai Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam satu kenyataan, 1MDB berkata Arul Kanda menggantikan Mohd Hazem Abd Rahman yang akan meletak jawatan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif serta anggota Lembaga Pengarah, sebagai sebahagian pelan peralihan.

Selain itu, Guan Eng turut mendedahkan SRC International Sdn Bhd membayar sejumlah RM84,583 dan RM74,583, masing-masing kepada Datuk Suboh Md Yassin dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Menurutnya, sejumlah RM106,667 juga telah dibayar bagi pihak pengarah kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada tahun ini.

”Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Nik Faisal dibayar gaji RM335,553 dan bonus RM533,328, tanpa mengambil kira elaun-elaun yang lain,” katanya.


“Walaupun syarikat SRC International merupakan syarikat yang secara efektif adalah insolven sejak 2015, ia telah terus membayar fi pengarah dan bonus kepada CEO sehingga tahun 2018, sebelum perubahan kerajaan.

Guan Eng mempersoalkan kewajaran pembayaran fi dan bonus yang begitu besar kepada Pengarah dan CEO sebuah syarikat yang tiada aktiviti dan nyaris insolven.

“...kita kena minta mantan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri untuk menjawab, kerana di bawah peruntukan Memorandum dan Articles of Association syarikat, hanya Perdana Menteri sahaja yang berkuasa melantik Pengarah, pihak pengurusan tertinggi dan juga segala pelaburan dan perbelanjaan utama syarikat,” katanya. - Sinar Harian

No comments


Loading...