Header Ads

Zuraida minta pembeli tangguh hasrat diami PPA1M Bukit Jalil


KUALA LUMPUR, 30 Julai — Seramai 1,100 pemilik kediaman Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Bukit Jalil yang telah menerima kunci rumah tetapi masih belum mendiaminya diminta menangguhkan dahulu kemasukan mereka bagi tempoh sebulan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata ia berikutan terdapat banyak aduan diterima mengenai masalah di bangunan kediaman tersebut termasuk spesifikasi yang tidak dipatuhi pemaju.

“Hari ini sebuah jawatankuasa komuniti penduduk PPA1M Bukit Jalil ditubuhkan bagi menangani masalah dan aduan pemilik yang tidak berpuas hati terhadap rumah itu kerana tidak seperti apa dijanjikan.

Loading...


“Pemilik perlu memberi tempoh sebulan kepada pemaju untuk menyiapkan saki-baki kerja yang tidak diselesaikan dan penduduk boleh dudukinya selepas mendapat kelulusan Jabatan Kerja Raya,” katanya  ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan lebih dua jam dengan pemaju dan penduduk PPA1M Bukit Jalil di sini, semalam.

Beliau berkata kebanyakan masalah yang disuarakan dipercayai timbul berikutan projek PPA1M Bukit Jalil itu siap 17 bulan lebih awal dari tarikh sepatutnya.

“Ketika ini sebanyak 400 daripada 1,500 pemilik telah menduduki rumah masing-masing. Mereka ini boleh terus tinggal, namun jika terdapat sebarang masalah boleh terus membuat aduan kepada jawatankuasa komuniti tersebut,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai hasrat Naib Presiden PKR  Rafizi Ramli untuk bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu bulan depan, Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR berkata mana-mana anggota parti itu boleh bertanding mana-mana jawatan dalam parti.

Katanya PKR jelas mengamalkan sistem demokrasi dan tiada halangan kepada anggotanya untuk bertanding bagi memegang jawatan dalam parti.

Jawatan Timbalan Presiden PKR kini disandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang masih belum  memutuskan jawatan akan ditandinginya pada pemilihan itu.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan PKR itu, Zuraida berkata beliau akan memutuskannya hanya selepas selesai Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos. — Bernama

Loading...