Header Ads

UMNO Lantik Tengku Razaleigh Penasihat Parti


KUALA LUMPUR – UMNO mengumumkan penubuhan Jemaah Penasihat yang dipengerusikan veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tugas dan tanggungjawab jemaah penasihat itu akan diumumkan sendiri Tengku Razaleigh.

“Tengku Razaleigh juga akan menjelaskan mengenai pelantikan ahli jemaah berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin.


Loading...

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Penerangan, Datuk Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad; dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi.

Ahmad Zahid berkata, sembilan majlis turut ditubuhkan bagi menjalankan beberapa tanggungjawab untuk memperkasa dan menyemarakkan UMNO sebagai parti politik utama tanah air.

Katanya, MT UMNO juga memutuskan lapan jawatankuasa ditubuhkan bagi memastikan pentadbiran parti berjalan lancar.

“Jawatankuasa itu menggantikan tugas yang dimainkan biro UMNO dalam pentadbiran terdahulu.

“MT juga mengambil ketetapan menubuhkan beberapa sekretariat yang memberi tumpuan kepada isu semasa yang mutakhir, terutama yang membabitkan perubahan dasar awam,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pendekatan UMNO kini bukan lagi kepada politik pembangunan dan perkhidmatan, sebaliknya menumpukan kepada isu semasa.

Beliau juga mengumumkan MT UMNO turut bersetuju supaya had umur keahlian parti diturunkan daripada 18 tahun kepada 16 tahun.


“Langkah itu sebagai persediaan parti berikutan cadangan menurunkan had umur warga negara yang layak mengundi kepada 18 tahun

“Serentak itu, UMNO akan melakukan pemutihan bagi keahlian parti berikutan ada ahli yang sudah meninggal dunia serta keluar parti” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid mengumumkan Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan selama satu hari pada 30 September depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Katanya, persidangan sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri pula diadakan sehari lebih awal iaitu pada 29 September.

Ditanya mengenai pembekuan akaun UMNO, Ahmad Zahid berkata ia masih dibekukan dan parti sudah melantik firma guaman untuk membuat tuntutan pelepasan.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menafikan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad, akan mewakili UMNO bagi membuat tuntutan itu. – BH Online

No comments


Loading...