Header Ads

Ucapan Najib, Abdullah Dipadam Dalam Laman Web Pejabat Perdana Menteri?


KUALA LUMPUR: Ucapan dan kenyataan media bekas-bekas Perdana Menteri didakwa dipadam dari laman web rasmi Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Penganalisis Politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff dalam hantaran terbaharu di Facebook hari ini berkata, semakan terkini di laman web tersebut mendapati ucapan dan kenyataan media Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi tiada dalam ruangan koleksi ucapan.

Loading...
Menurut beliau, tindakan memadam ucapan dan kenyataan media bekas Perdana Menteri sebelum ini akan menyukarkan mahasiswa dan pengkaji berkaitan politik Malaysia menulis tesis yang menjadikan laman web tersebut sebagai rujukan.
"Selaku pengkaji politik Malaysia, saya kerap kali mengakses laman web rasmi Pejabat Perdana Menteri (PMO) di pautan https://www.pmo.gov.my/home.php untuk menyemak ucapan dan kenyataan media Perdana Menteri atau bekas Perdana Menteri.
"Laman web rasmi PMO ini memang sangat bermanfaat kepada pengkaji politik Malaysia kerana ia memuatkan semua ucapan dan kenyataan media rasmi Perdana Menteri atau bekas Perdana Menteri," kata Dr. Kamarul Zaman.
Semakan Utusan Online terhadap laman web pada pukul 11 pagi tadi mendapati koleksi ucapan bermula pada 21 Mei lalu dengan ucapan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama warga Jabatan Perdana Menteri.
Dr. Kamarul Zaman berkata, tidak munasabah tindakan memadam ucapan bekas-bekas Perdana Menteri bagi menghilangkan terus segala rekod Najib dan Abdullah sewaktu mereka menjadi Perdana Menteri dari laman web rasmi PMO ini.

"Harapan saya adalah arkib ucapan dan kenyataan media rasmi bekas Perdana Menteri ini akan muncul kembali.
"Jika tidak susah pelajar PhD dan pelajar sarjana mengenai politik Malaysia mahu menulis tesis mereka nanti," kata Dr. Kamarul Zaman.
- Utusan Online

No comments


Loading...