Header Ads

Tidak Lanjut Reman, Pegawai Khas Rosmah Dibebaskan


PUTRAJAYA - Bekas pegawai khas kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang direman bagi membantu siasatan kes penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majistret Chyfica Mohamed Zamri membenarkan lelaki berpangkat Datuk itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM16,000 dengan seorang penjamin selepas dia dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pagi tadi, lapor Kosmo.

Terdahulu, lelaki berusia 44 tahun itu yang diwakili peguam Ridha Abdah Subri tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini pada pukul 10.15 pagi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga.

Loading...


Menurut Ridha, SPRM telah memohon wang jaminan sebanyak RM100,000, namun mahkamah membenarkan individu itu dibebaskan dengan wang jaminan yang dikurangkan kepada RM16,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, pegawai khas berkenaan ditahan reman selama enam hari selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini, Isnin lalu.

Projek pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion sedang disiasat oleh SPRM berikutan pelaksanaan projek berkenaan tidak melalui tender terbuka Kementerian Pendidikan sebaliknya diberikan secara terus kepada sebuah syarikat sewaan kereta di Bintulu, Sarawak.

Sebelum ini SPRM sudah menahan seramai tiga individu termasuk seorang pengarah syarikat bagi membantu siasatan berkaitan projek berkenaan.

Skandal tersebut mencetus kontroversi apabila laporan sebuah portal berita, Sarawak Report, melaporkan pada Januari 2017, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan projek tersebut kepada sebuah syarikat penyewaan kenderaan yang beroperasi di Bintulu, Sarawak, yang dikenali sebagai Jepak Holdings Sdn. Bhd.

Portal tersebut telah menyiarkan beberapa surat yang ditandatangani oleh Najib mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk menganugerahkan projek dan membuat pembayaran terus kepada syarikat tersebut walaupun terma dalam kontrak tidak berjaya dipenuhi oleh syarikat terbabit.

Difahamkan, kakitangan Kementerian Pendidikan yang mempersoalkan tentang perkara tersebut telah ditukarkan daripada jawatan mereka.

No comments


Loading...