Header Ads

Surat Kepada CIA: Bekas Pengarah MEIO Buat Laporan Polis


PETALING JAYA: Bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (ME10) Datuk Hasanah Abdul Hamid membuat laporan polis susulan tersebarnya surat yang mengaitkannya dengan Datuk Seri Najib Razak yang meminta sokongan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) menjelang pilihan raya lalu.

“Sejak beberapa hari lepas, saya memerhatikan dan mengambil maklum laporan akhbar yang mencetuskan kontroversi berkaitan dengan sepucuk surat yang dikatakan dihantar oleh saya sebagai ketua MEIO kepada pengarah perisikan CIA.

Loading...


“Saya dinasihati peguam saya untuk membuat laporan polis dan dalam masa terdekat ini, mengeluarkan satu kenyataan akhbar yang menerangkan keadaan sebenarnya,” katanya dalam satu kenyataan melalui peguamnya Datuk Shaharudin Ali.

Sebelum ini tersebar surat 3 halaman bertarikh 4 Mei yang ditulis oleh Hasanah kepada Gina Haspel selaku pengarah CIA ketika itu.

Menerusi surat itu, MEIO meminta AS terus menyokong pentadbiran Najib, jika BN menang mudah atau hanya meraih majoriti 1 kerusi dalam PRU14.

MIEO menggambarkan Najib sebagai sekutu AS yang boleh bekerjasama dengan Washington, berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad yang “anti-Barat dan anti-Yahudi”.

Semalam, Najib berkata beliau tidak mengetahui mengenai surat tersebut dan meminta untuk menanyakan kepada badan perisikan itu sendiri dan bukan kepadanya.

“Itu berlaku semasa kempen pilihan raya dan dia tidak memberi kesan keputusan pilihan raya.

“Itu antara agensi kepada agensi dan saya tidak boleh sahkan atau menafikan,” katanya.

- Free Malaysia Today

Loading...