Header Ads

Surat CIA: Bekas KP ME10 buat laporan polis


BEKAS Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid membuat satu laporan polis berhubung dakwaan beliau menghantar surat kepada Agensi Risikan Pusat (CIA).

Laporan itu dibuat selama sejam setengah di Balai Polis Travers, Kuala Lumput, bermula jam 1 tengah hari tadi.

Turut hadir peguam Hasanah, Datuk Shaharuddin Ali.

Sementara itu, usaha wartawan mendapatkan reaksi Hasanah gagal apabila pemandu keretanya tidak memberhentikan kenderaan.

Terdahulu, Shaharuddin dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya akan mengadakan satu sidang media di pejabat Tetuan Nik Saghir & Ismail, Jalan Kampar, pada jam 4 petang, hari ini.


Loading...

Kenyataan media akan dibacakan Shaharuddin disaksikan dua peguam lain iaitu Tan Sri Abd Aziz Abd Rahman dan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Menurut laporan Harian Metro, ia bagi merungkai segala persoalan membabitkan isu penyebaran surat itu kepada CIA pada 4 Mei 2018.

Jumaat lalu, Hasanah dalam satu kenyataan memaklumkan akan membuat laporan polis berhubung dakwaan itu selepas dinasihatkan peguamnya untuk berbuat demikian.

“Sejak beberapa hari lalu, saya memerhatikan dan mengambil maklum laporan akhbar yang mencetuskan kontroversi berkaitan sepucuk surat yang dikatakan dihantar oleh saya sebagai Ketua Pengarah MEIO kepada CIA.

"Saya dinasihati oleh peguam untuk membuat satu laporan polis dan dalam masa terdekat ini akan mengeluarkan satu kenyataan akhbar untuk menerangkan keadaan sebenarnya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Hasanah menandatangani surat tiga halaman bertarikh 4 Mei lalu dan diutuskan kepada Gina Haspel.

Menerusi surat terbabit, MEIO yang beroperasi di sebalik Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM), didakwa

meminta Amerika Syarikat (AS) untuk menyokong pentadbiran Datuk Seri Najib Razak jika Barisan Nasional (BN) menang mudah atau hanya meraih majoriti satu kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menerusi surat itu, MIEO menggambarkan Najib sebagai pemimpin progresif dan mesra AS dan akan terus menyokong kehadiran AS di rantau ini.

Tanpa kehadiran Najib sebagai pemimpin negara ini, agensi itu memberi gambaran yang AS bakal kehilangan rakan kongsi yang boleh dipercayai di Asia Tenggara.

Ia memandangkan Filipina sudah memutuskan ikatan dengan AS, manakala Singapura dan Brunei terlalu kecil untuk memberi impak, manakala Thailand serta Indonesia pula terlalu sibuk dengan masalah domestik masing-masing.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu mengetuai barisan pembangkang pula disifatkan sebagai anti-Barat, anti-Yahudi, autokratik, menutup mulut pengkritik dengan keras dan mengabaikan sama sekali hak asasi manusia serta pemerintahan berdasarkan undang-undang.

No comments


Loading...