Header Ads

Subsidi Minyak RM 1.4 Bilion Sejak PH Perintah


Kerajaan Pakatan Harapan membelanjakan kira-kira RM 1.4 bilion dalam bentuk subsidi minyak (petrol dan diesel) kepada semua rakyat Malaysia sejak mengambil alih Putrajaya pada 10 Mei lepas.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, kerajaan memberi subsidi kepada rakyat dengan mengekalkan harga RON95 pada paras RM 2.20 seliter meskipun harga minyak dunia meningkat.

Menurutnya, pentadbiran Harapan membuat keputusan bijak dengan memulangkan antara 17 sen hingga 30 sen subsidi untuk setiap liter kepada rakyat.


Loading...

"Daripada RM 1.77 bilion pendapatan tambahan akibat kenaikan harga minyak mentah dunia (selepas 10 Mei hingga 16 Julai 2018), sebanyak RM 1.384 bilion dikembalikan kepada rakyat sebagai subsidi minyak.

"Maknanya, pentadbiran Harapan mengembalikan 78 peratus dari pendapatan tambahan hasil minyak kepada rakyat. Bandingkan dengan rekod pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, dari RM 2.2 bilion hasil tambahan (Januari hingga Mei 2018), beliau belanjakan semuanya.

"Penyokong Umno dan BN akan terus sawan di media sosial menuntut harga yang lebih rendah walaupun RM1.4 bilion telah dibelanjakan dalam tempoh 67 hari," katanya dalam catatan di Facebooknya, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu turut menyindir Pas dan Umno dengan berharap mereka menjadi pembangkang yang baik, bukan sahaja membangkang dengan fakta tetapi mendidik penyokong mereka agar celik ilmu.

"Semua analisis yang saya bentangkan adalah berdasarkan maklumat yang boleh diperolehi dari pembacaan di internet. Tidak ada satu maklumat pun yang dibekalkan oleh mana-mana individu dari jabatan kerajaan.

"Maknanya, jika ada kemahuan, pembangkang dari Umno dan Pas pun boleh memperjuangkan kebajikan rakyat dengan berkesan berpandukan fakta dan maklumat yang sudah sedia ada.

"Tidak perlulah penyokong Umno dan Pas mencari saya setiap kali mereka mahu menimbulkan isu bersabit kebajikan rakyat," ujarnya.

- Sinar Harian

No comments


Loading...