Header Ads

Sim Bidas Akhbar Sengaja Mahu Laga-Lagakan DAP Dan PPBM


BUKIT MERTAJAM -- Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong hari ini membidas sebuah akhbar berbahasa Melayu kerana menyiarkan tajuk berita yang disifatkannya  mahu melaga-lagakan parti komponen Pakatan Harapan (PH) berhubung cadangan had umur layak mengundi.

Wakil rakyat DAP itu berkata akhbar tersebut seolah-olah sengaja mahu mencetuskan provokasi kerana tajuk berita adalah bercanggah dengan kandungan laporannya.


Loading...

"Tajuk laporan berita yang bertarikh semalam (7 Julai) itu menyatakan bahawa PPBM dan DAP tidak sehaluan berhubung isu had umur pengundi sedangkan dalam temu bual pada sidang media sebelumnya (6 Julai)  saya menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap cadangan saudara Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman).

"Apabila  baca berita penuh di muka surat enam, kandungan beritanya tidak menunjukkan bahawa DAP dan PPBM ini tidak sehaluan. Jadi, apa tujuannya?," katanya yang turut menunjukkan rakaman video temu bualnya  bersama  wartawan berhubung isu berkenaan, di sini hari ini.

Pada 5 Julai, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan dilaporkan mencadangkan agar had umur layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun berbanding 21 tahun sekarang.

Ketua Pemuda PPBM itu juga dilaporkan berkata cadangan itu mampu dilaksanakan pada pilihan raya umum ke-15.

Ketika diminta mengulas cadangan Syed Saddiq keesokannya, Sim dilaporkan  berkata usul itu boleh dilaksanakan namun memerlukan masa.

Mengulas lanjut perkara berkenaan hari ini, Sim menegaskan beliau menyokong penuh  cadangan “bosnya”  itu.

Usul itu memerlukan masa untuk dilaksanakan, namun ini adalah cabaran kepada kerajaan pimpinan PH, katanya.

Sehubungan itu Sim menasihati akhbar berkenaan agar mengamalkan kebebasan media secara berhemah.

"Kepada  mereka, jadilah  pembangkang yang bertanggungjawab. Sesungguhnya Malaysia Baharu ini mengalu-alukan kebebasan media tetapi bukan kebebasan dalam menyebarkan fitnah,” katanya yang mahu rakyat menilai sendiri kredibiliti akhbar berkenaan.        

-- BERNAMA

Loading...